PENGENDALI Johor Darul Ta’zim III, Javier Jorda percaya akan ada para pemain dari skuadnya ini akan mengikut jejak langkah Arif Aiman dan Ramadhan Saifullah yang berjaya menembusi pasukan utama JDT.
Dia sedar ianya bukan mudah tetapi dia percaya suatu hari nanti pemain-pemain muda ini akan menjadi bintang generasi baharu buat JDT dan juga skuad kebangsaan.
“Sudah tentu akan ada pemain dari skuad ini yang akan naik ke skuad utama. Ramai pemain dari skuad ini yang pernah bermain di JDT II dan JDT IV. Meskipun berusia dari 18 hingga 21 tahun namun mereka bekerja keras dan akan ada dari mereka yang bakal membuka jalan ke skuad utama.
Sidang media praperlawanan menjelang Final 2 Piala Presiden 2022, Sri Pahang FC lwn Johor Darul Ta'zim III telah berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, petang tadi.
▶️ Baca penuh & lagi gambar di https://t.co/VyozVTyZkY#FAM #HarimauMalaya #PialaPresiden2022 pic.twitter.com/wq9gO4LRxe
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) August 27, 2022
“Kami berharap kami berjaya melahirkan ramai pemain ke skuad utama namun kami sedar ianya bukan mudah untuk mengikuti jejak langkah Arif Aiman dan Ramadhan Saifullah,” jelas Javier Jorda.
Namun dia kini mahu menumpukan perhatian terlebih dahulu kepada perlawanan akhir kedua Piala Presiden esok dimana JDT III akan berhadapan Sri Pahang B-21 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh selepas terikat 2-2 pada aksi final pertama di Pasir Gudang.
“Ini adalah perlawanan terakhir Piala Presiden. Kami berjaya layak ke akhir dan seri pada perlawanan pertama. Kini kami perlu memenangi perlawanan kedua ini untuk menjulang piala.

“Ianya pasti satu perlawanan yang sukar seperti perlawanan pertama kerana kedua-dua pasukan mahu memenangi trofi ini. Kami akan berjuang sehingga tamat dan berharap kami mampu mencapai kemenangan dengan kesemua pemain bebas dari kecederaan mahupun penggantungan perlawanan.
“Kehadiran ramai pemain kebangsaan dalam skuad ini pastinya satu kelebihan dan kami berharap mereka dapat menampilkan aksi terbaik jika diturunkan begitu juga dengan pemain yang lain kerana mereka semua adalah pemain bawah 21 tahun terbaik,” katanya pada sidang media pra perlawanan.
Ditanya apakah pesanan pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, Javier berkata Baginda berpesan agar bermain sehabis baik buat kelab. Para pemain juga mahu membalas jasa Baginda yang telah memberikan fasiliti dan keadaan yang terbaik buat setiap pemain sepanjang lima tahun ini.
“Kami berbangga dengan pencapaian JDT dan JDT II yang mendahului carta liga masing-masing dan berharap kami dapat memenangi piala ini selepas bersama hampir lima tahun dengan memberikan persembahan yang terbaik esok dan kami juga telah bersedia sekiranya terpaksa bermain dalam masa tambahan dan penentuan penalti.
Johor Darul Ta’zim III akan cuba memadam kelebihan dua gol tempat lawan Sri Pahang dengan pelan permainan serangan dalam usaha mencari kejuaraan sulung sejak Akademi JDT ditubuhkan pada 2015.