Daripada: MOHD FARIQ

SURAT TERBUKA BUAT SETIAUSAHA AGUNG FAM, NOOR AZMAN RAHMAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Ke hadapan Saudara Azman,

Terlebih dahulu, izinkan saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah buat Saudara Azman atas pelantikan selaku Setiausaha Agung FAM yang baharu.

Pengumuman daripada unit media FAM hari ini mengesahkan desas-desus sepanjang minggu lalu yang saudara akan mengisi kekosongan ditinggalkan susulan peletakan jawatan Mohd Saifuddin Abu Bakar yang memutuskan bahawa beliau mahu memberi tumpuan terhadap tugasan di pentas antarabangsa.

Di sebalik saudara menyambut berita pelantikan ini, saudara diingatkan agar berpijak di bumi nyata.

Tugas setiausaha agung FAM tidak semudah bekerja di sebalik tabir menguruskan pejabat Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin selaku presiden.

Adalah penting untuk saudara membawa pandangan dan kerja yang seimbang dalam memenuhi aspirasi presiden, ahli jawatankuasa eksekutif FAM, anggota sekretariat agung badan induk itu serta pemegang taruh yang lain.

Saudara bernasib baik kerana memiliki pengalaman selaku naib presiden dan setiausaha agung Persatuan Bolasepak Melaka. Selain itu, saudara menghabiskan empat tahun selaku Koordinator Presiden di Pejabat Presiden FAM untuk belajar selok-belok dan sifir Hamidin sebagai nakhoda kapal.

Jadi anda memahami jiwa dan aspirasi Hamidin sebagai individu dari golongan marhaen yang memegang tampuk pemerintahan dalam badan induk yang paling mudah dan paling kerap dikecam.

Saudara memang dikenali di kalangan keluarga bola sepak Malaysia, namun pengaruh dalam bola sepak tidak akan membuahkan hasil tanpa sentuhan pakar-pakar dalam urus setia FAM.

Nadi sebenar FAM ialah sekretariat agungnya yang terdiri antaranya daripada pakar yang bergaji – daripada pengarah teknikal Scott O’ Donnel, ketua unit pendidikan kejurulatihan Lim Kim Chon, sehingga penolong setiausaha agung Abang Zulkarnain Abang Abdurrahman yang disifatkan sebagai berilmu dalam bidang masing-masing.

Bersama staf-staf sokongan lain, mereka adalah pemikir dan pelaksana yang memudahkan pucuk pimpinan untuk membuat keputusan yang betul dengan mengutamakan kepentingan bola sepak.

Jika dahulu saudara mungkin hanya menjaga kepentingan pejabat Presiden sahaja, jawatan selaku Setiausaha Agung harus menuntut saudara untuk menguruskan tadbir urus FAM secara harian.

Ini termasuk mengendalikan komunikasi dengan ahli gabungan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, MFL yang mengendalikan Liga M, AFL yang menguruskan saingan M3 dan pemegang taruh yang lain.

Tentunya juga saudara diminta mempengerusikan mesyuarat dalaman kewangan, strategik, pemasaran, teknikal, pembangunan bola sepak wanita, belia dan peta hala tuju F:30 dengan ruang lingkup jauh lebih luas daripada mengekori gerak-geri Presiden.

Kerusi panas ini menuntut sepenuh jiwa raga saudara, sebagaimana yang boleh dipersetujui Stuart dan Mohd Saifuddin.

Ini kerana secara dalaman sahaja, saudara harus menangani cabaran bekerja di bawa seorang Presiden sepenuh masa dengan kuasa eksekutif, ahli Exco yang terdiri daripada 17 orang, sekretariat agung yang merangkumi enam jabatan dan 26 unit berpandukan carta organisasi dalam laman web FAM.

Daripada isu dalaman seperti tugasan mencari penajaan dan memastikan penaja berpuas hati, hinggalah masalah gaji tertunggak dalam Liga Super, adalah antara perkara yang harus mengisi minda seorang setiausaha agung. Ini belum kita cerita tekanan yang dikenakan oleh netizen dalam media sosial yang tidak mengenal sempadan serta potensi hak siaran dan apa itu OTT atau pengstriman secara langsung.

Saudara juga kena bermula untuk memulakan jambatan bersama persatuan-persatuan di bawah naungan Persekutuan Bola Sepak ASEAN dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Ini penting dalam meneruskan komunikasi FAM di peringkat antarabangsa.

Sejak Hamidin diangkat menjadi Presiden FAM pada 14 Julai 2018, saudara anda adalah ketua sekretariat FAM yang ketiga selepas Stuart Ramalingam dan Mohd Saifuddin dan yang ke-13 secara keseluruhan sejak orang tempatan menggalas tugas setiausaha bermula dengan A.R. Singam pada 1940.

Mengenali saudara secara peribadi, saya percaya saudara berada dalam posisi yang baik untuk memastikan sekretariat agung FAM bergerak atas landasan yang betul.

Pengalaman selama empat tahun di Pejabat Presiden, khusus menjaga kepentingan ahli gabungan serta agensi kerajaan adalah elemen penting dalam menguatkan tunjang kekuatan saudara.

Sokongan ahli Exco, ahli gabungan dan rakan-rakan pemegang taruh luar dalam industri harus memudahkan proses penyesuaian diri saudara dalam mengisi kerusi panas ini.

Dalam analisis akhir, sifirnya sudah berbeza. Dahulu saudara di balik tabir tetapi kini bakal menjadi perancang utama FAM dalam membantu pucuk pimpinan. Semoga urusan dan kerjaya saudara dipermudahkan Allah Subhanahu Wa Taala.