KESEMPATAN dapat bertemu bintang skuad Harimau Malaya di Doha, Qatar tidak dilepaskan oleh peminat sejati penyokong bola sepak Malaysia.
Mohd Fazil Abdul Rahaman, 42, tak menyangka dapat bergambar dan bertegur sapa dengan pemain negara meningkat naik, Syahmi Safari dan Afiq Fazail.
“Saya teruja dapat merakamkan gambar pemain Harimau Malaya, kebanggaan rakyat Malaysia. Biasanya kami melihat dari jauh dan di stadium.
“Ternyata mereka tidak sombong dan cukup mesra apabila didekati. Saya harapkan kemenangan boleh berpihak kepada pasukan Malaysia menjelang saingan sebenar Kumpulan E nanti,” katanya yang berasal dari Sijangkang, Selangor.

Bagi menunjukkan kesetiaan sokongan tidak berbelah bahagi buat pasukan Harimau Malaya, bapa kepada empat cahaya mata itu yang tinggal di Qatar hampir tujuh tahun memberitahu telah membeli tiga tiket perlawanan aksi Malaysia berdepan Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.
“Saya peribadi nak tengok aksi Mickey (Faisal Halim) dan Afiq Fazail perform di bahagian tengah negara.
“Kami percaya kemampuan skuad Kim Pan-gon yang membawa 26 pemain yang bertanding kali pertama di pentas tertinggi Asia dan mampu berada pada kedudukan ketiga terbaik keseluruhan untuk mara ke Pusingan 16,” katanya yang juga penyokong tegar Selangor.
Malaysia akan memulakan kempen dengan bertemu Jordan pada 15 Januari (1.30 pagi 16 Januari waktu Malaysia) di Stadium Al Janoub diikuti Bahrain (20 Januari) di Stadium Jassim Bin Hamad dan bertemu juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari.
Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik yang tidak pernah dicapai pasukan negara dalam tiga penampilan sebelum ini.
Ini merupakan kali keempat Malaysia beraksi di Piala Asia selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait serta ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.