LATIHAN berintensi tinggi mula diterapkan kem skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon menjelang Piala Asia 2023 di Doha, Qatar.

Pemain pertahanan negara, Syahmi Safari tanpa berselindung mengakui corak permainan semasa sesi latihan mula berubah dan menuntut para pemain bersiap sedia segala kemungkinan.

“Hari ini kita jalani latihan dalam intensiti yang tinggi untuk menyesuaikan dengan situasi perlawanan yang sebenar. Jadi rasanya semua pemain memberi komitmen 100 peratus.

“Ini untuk kebaikan untuk rakan-rakan lain jugalah, terutama kita dapat tingkatkan mementum dalam pasukan itu sendiri,” katanya kepada FLASH SUKAN di hotel penginapan rasmi skuad kebangsaan di Doha, Qatar pada Sabtu.

Sepanjang sesi latihan di Universiti Qatar, tidak dinafikan jurulatih asal Korea Selatan berusia 54 mengaplikasikan permainan yang berintensiti tinggi atau tempo permainan yang pantas amat penting dalam bola sepak moden.

Walaupun sebelum ini, Pan-gon ada memberitahu mengambil kira beberapa faktor, penerapan permainan seperti itu belum lagi sesuai buat masa sekarang.

Mengulas lanjut, Syahmi yang telah mengumpul 26 kaps bersama Harimau Malaya berazam menyajikan persembahan terbaik untuk kemunculan pertama kali di pentas Piala Asia.

“Ini adalah Piala Asia pertama buat saya dan rakan rakan yang lain juga. Sebelum ini, pada 2018 kita pernah bermain di Piala Asia bawah 23 tahun.

“Jadi ini adalah Piala Asia yang sebenarnya, seterusnya adalah pentas terbaik dan tertinggi dalam karier setiap pemain dalam bola sepak terutama kepada pemain Malaysia

“Rasanya setiap pemain ingin buktikan sesuatu dan membantu pasukan kebangsaan mara lebih jauh dalam kejohanan,” katanya.

Malaysia akan memulakan kempen dengan bertemu Jordan pada 15 Januari di Stadium Al Janoub diikuti Bahrain (20 Januari) di Stadium Jassim Bin Hamad dan bertemu juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari.