YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Kejohanan Karate Asia ke-19 dan Kejohanan Karate Para ke-2 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada Jumaat.

Seri Paduka berangkat tiba ke MITC diiringi Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya Adam Adli Abd. Halim.

Seri Paduka, ketika merasmikan kejohanan tersebut bertitah mengucapkan syabas dan tahniah kepada penganjur.

“Saya kagum dengan persiapan, tahniah dan syabas kepada penganjur Persatuan Karate Malaysia, saya berdoa supaya ahli karate Malaysia akan berjaya dan saya harap orang Melaka akan terus bagi sokongan kepada atlet karate Malaysia,” titah Seri Paduka.

Sebagai simbolik upacara perasmian, Al-Sultan Abdullah memukul gong sebanyak enam kali sebagai gimik tanda perasmian dan Baginda turut berkenaan menyaksikan perlawanan akhir acara Kata Wanita.

Hadir sama adalah Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, Presiden Persekutuan Karate Sedunia (WKF), Antonio Espinos, Presiden Persekutuan Karate Asia (AKF), Mej. Jen. Nasser Alrazooqi dan Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad.

Seramai 388 atlet daripada 32 negara termasuk penyandang juara keseluruhan di Uzbekistan tahun lalu, Jepun bersaing pada kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad.

Kejohanan Para Karate Asia Edisi kedua juga akan berlangsung serentak sempena Kejohanan Karate Asia itu.