PELUMBA pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ Racing, Ahmad Afif Amran yakin berada di landasan tepat setelah menjuarai pusingan pertama dan kedua.

Misinya adalah untuk menebus kekecewaan yang dirasainya setelah gagal bergelar juara pada musim 2021.

“Sasaran saya sememangnya untuk melakar kemenangan hatrik menerusi pusingan ketiga.

“Saya lebih fokus untuk membawa pulang sebanyak mungkin mata berharga dari setiap pusingan dan sebolehnya untuk menamatkan semua perlumbaan pada musim ini.

“Jika saya mempunyai peluang untuk ke depan, sudah tentu saya akan ke depan,” katanya juara saingan CP150 bagi tahun 2018 dan 2019.

Afif yang kekurangan lima mata berbanding dengan pesaingnya, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu, gagal meraih gelaran Juara CP150 musim 2021.

Katanya, Litar Sepang dijangka lebih mencabar disebabkan oleh struktur trek yang lebih panjang dan luas.

Afif telah memulakan kempen musim 2022 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix dengan langkah kanan apabila menjuarai dua pusingan CP150 dengan catatan masa 14’32.412s dan 14’36:498s masing-masing dan akan meneruskan semangatnya untuk meraih gelaran juara musim 2022.