PASUKAN ONEXOX TKKR Racing Team, Md Akid Aziz mencatatkan masa terpantas di sesi kelayakan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix pusingan kelapan bagi kategori CP150.
Dengan tiga lagi perlumbaan ke penghujung musim, pelumba-pelumba semakin agresif dan hebat dalam memberikan persaingan untuk mempertahankan kedudukan dan meraih masa terbaik.
Kali ini, kelebihan Akid terpapar dalam penguasaan jentera dan penggunaan kemahiran teknikalnya apabila beliau mencatatkan masa terpantas 43:079s pada sesi kelayakan.
Akid yang menduduki tempat ketujuh secara keseluruhan dengan jumlah 55 mata telah menaiki podium di tempat ketiga pada pusingan keenam.
Pada musim lepas, dia telah meraih tempat ketiga secara keseluruhan dengan enam podium termasuk satu kemenangan. Namun begitu, musim ini kelihatan agak mencabar baginya dengan prestasi yang kurang memuaskan.
Tempat kedua terpantas diambil oleh Md Aiman Tahiruddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing dengan catatan masa 43:117s.
Md Haziq Md Fairues dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor yang telah mencatatkan masa terpantas pada pusingan kedua yang berlangsung di litar ini mencatatkan masa ketiga terpantas kali ini dengan catatan masa 43:268s.