SATU Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) akan diwujudkan sebagai inisiatif oleh Kerajaan Malaysia yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi menerajui pembangunan bakat dalam sukan berprestasi tinggi untuk tujuan mereformasikan sukan.

Objektif utama penubuhan HLC ini adalah untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan dan seiring dengan negara-negara yang mempunyai pembangunan sukan yang maju terutama melibatkan acara sukan yang banyak menawarkan pingat seperti sukan tempur, renang dan olahraga.

Ahmad Zahid berkata, HLC ini akan memberi tumpuan kepada model pembangunan ini dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Kami baharu sahaja selesai mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Sukan, yang kali terakhir diadakan pada 2014. Jadi, banyak perkara yang diputuskan berkait dengan beberapa perkembangan terkini yang disesuaikan dengan kehendak semasa dalam bidang sukan.

“Mesyuarat ini berperanan untuk menyelaras dan memperkemas sistem penyampaian inisiatif dan program pembangunan sukan. Ia termasuk memperkukuhkan kerjasama pelbagai sektor bagi mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan (sporting nation).

“Bagi memastikan negara tidak ketinggalan dan seiring dengan negara-negara yang mempunyai pembangunan sukan yang maju, kita bersetuju untuk mewujudkan HLC bagi memberi tumpuan kepada model pembangunan bakat bagi sukan tempur, olahraga dan renang,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat di Putrajaya.

Turut hadir dalam mesyuarat itu adalah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya, Adam Adli Abd Halim yang turut membincangkan semakan semula keanggotaan, terma rujukan dan tatakelola JKPS serta prestasi kontinjen negara di Sukan SEA Kemboja serta cadangan pelaksanaan program penyediaan atlet ke arah Sukan SEA 2025 dan Sukan SEA 2027.

Hannah pula ketika diminta mengulas mengenai HLC berkata, jawatankuasa itu diwujudkan selepas perbincangan hasil keputusan Sukan SEA Kemboja yang mana kerajaan melihat sukan cemerlang adalah sukan tempur yang banyak menyumbang emas manakala banyak pingat yang terlepas datang dari acara olahraga dan renang.

“Strategi kita kena bertukar, itu sebab Timbalan Perdana Menteri bersetuju untuk pengerusikan HLC antara tiga kementerian iaitu KBS, KPM dan KPT. Ini juga bagi memastikan ada penyelarasan untuk cungkil bakat dan kita tidak terlepas bakat-bakat muda dan kita akan fokus kepada tiga sukan ini.

“Dengan adanya penglibatan Timbalan Perdana Menteri, proses reformasi ini akan berjalan dengan baik dan pelan pembangunan bakat baharu terutamanya dalam sukan yang menyumbang banyak pingat iaitu olahraga dan renang akan ada perubahan berlaku,” kata Hannah.

Selain itu menurut Hannah, mesyuarat juga bersetuju untuk mempelawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membiayai program-program sukan, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan melalui penglibatan pelbagai pemegang taruh terutamanya pihak GLC.