PENGENDALI interim Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berjaya melakukan debut impian setiap jurulatih apabila berjaya membawa skuad Harimau Kumbang meraih kemenangan dalam penampilan pertamanya selepas menewaskan Sri Pahang FC 3-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad.
Akmal yang sebelum ini mengemudi skuad Piala MFL Penang telah dinaikkan pangkat untuk membawa skuad Liga Super pada baki tiga perlawanan telah melakukan sesuatu yang tidak dijangka apabila Penang kembali merasai nikmat kemenangan selepas kali terakhir menang Julai lalu.
Bersama-sama penolongnya, Kamal Daut, kedua-dua pengendali ini berjaya melakar kebangkitan selepas ketinggalan dua kali kepada pasukan bimbingan Fandi Ahmad sekaligus melakar sejarah menjadi duo yang berjaya memenangi perlawanan bersama tiga pasukan di tiga kejohanan yang berbeza.

Akmal Rizal Ahmad Rakhli
Akmal sebelum ini cemerlang membawa skuad Sukma Pulau Pinang meraih pingat perak ketika Sukma ke-20 sebelum dipilih untuk membentuk pasukan B-23 tahun bagi persaingan Piala MFL yang diperkenalkan musim ini dan mengakhiri saingan Kumpulan A di tempat kelima.
Bekas penyerang sensasi kebangsaan ini dilihat berpengaruh di kalangan pemain muda dan kini semakin banyak bakat-bakat baharu Penang FC mula menempa nama seperti Aliff Ikmarizal, Haziq Kutty Abba dan Izzat Zikri.
Akmal dilihat percaya dengan mereka dan membawa naik beberapa pemain bersamanya ke skuad Liga Super dan akhirnya gandingan jurulatih dan pemain baharu memberikan kesegaran buat Penang untuk kembali meraih tiga mata dan kini berjaya naik ke tangga ke-10 Liga Super dengan berbaki dua perlawanan.
Dia juga tidak menolak kemungkinan sekiranya khidmatnya diperlukan secara sepenuh masa musim hadapan kerana dia bersedia menerima cabaran tertinggi membawa Penang FC di Liga Super selepas berjaya memperolehi lesen Diploma Pro A yang membolehkan dia menjadi jurulatih kelab Liga Super.
Namun buat masa ini dia hanya meletakkan fokus pada baki dua perlawanan terakhir menentang Terengganu FC di laman sendiri sebelum bertandang ke Iskandar Puteri untuk bertemu Johor Darul Ta’zim pada perlawanan terakhir Liga Super musim ini.