MALAYSIAN Football League (MFL) mengesahkan khidmat pengadil luar negara akan digunakan bagi mengendalikan aksi Final Piala Malaysia 2025-2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Mei ini.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memilih barisan pengadil terbaik bagi mengadili perlawanan berprestij edisi ke-99 itu.

Menurut beliau, MFL memohon empat pegawai perlawanan dari luar negara membabitkan seorang pengadil utama, dua pembantu pengadil serta seorang pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR).

Katanya, langkah menggunakan pengadil antarabangsa dibuat bagi memastikan mutu pengadilan berada pada tahap tertinggi selain menjamin integriti dan kelancaran aksi final yang dijangka menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan.

“Final Piala Malaysia adalah perlawanan berprofil tinggi dan kami percaya standard pengadilan antarabangsa mampu meningkatkan pengalaman pertandingan kepada pemain, pegawai pasukan dan juga penyokong,” katanya dalam satu kenyataan.

Ab Ghani turut menjelaskan kehadiran pengadil luar negara bukan sahaja membantu meningkatkan keyakinan terhadap mutu pengadilan, malah memberi peluang kepada pengadil tempatan menimba pengalaman dan ilmu daripada pegawai antarabangsa.

Beliau berkata, keputusan itu juga dibuat selepas cadangan penggunaan pengadil luar negara dibangkitkan ketika sesi Perbincangan MFL Bersama Rakan Kongsi Liga pada 29 April lalu.

“MFL sentiasa terbuka mendengar pandangan serta cadangan rakan kongsi demi penambahbaikan liga, namun penggunaan pengadil luar negara memerlukan pertimbangan teliti kerana ia melibatkan kos yang tinggi,” katanya.

Penggunaan pengadil luar negara bukan perkara baharu dalam saingan domestik apabila final Piala FA 2019 antara Kedah dan Perak sebelum ini turut dikendalikan pengadil dari Jepun.

Final Piala Malaysia musim ini bakal menemukan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Kuching City FC yang mencipta sejarah mara ke pentas final buat kali pertama.