SKUAD Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon kehilangan dua lagi pemain apabila pemain Kuala Lumpur City FC, Akram Mahinan dan Declan Lambert meminta pelepasan atas urusan peribadi.
Perkara ini disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman pada Selasa ketika hari pertama kem latihan pusat menjelang kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.
Dengan ketiadaan dua pemain itu, Harimau Malaya akan meneruskan latihan dengan 28 lagi baki pemain dengan 17 daripadanya sudah melaporkan diri manakala 11 lagi akan melaporkan diri mengikut jadual yang sudah ditetapkan FAM.
Akram, Declan Tidak Sertai Kem Latihan Pusat Harimau Malaya
▶️ Baca penuh https://t.co/jnPvN0mgDM
—-
Akram, Declan Will Not Participate in Harimau Malaya Centralized Training Camp
▶️ Read more at https://t.co/jnPvN0mgDM#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/4S2QVA5sOW
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) November 29, 2022
“Dua pemain iaitu Akram Mahinan dan Declan Lambert tidak melaporkan diri pada hari pertama kem latihan pusat skuad Harimau Malaya, hari ini selepas kedua-dua mereka meminta pelepasan kerana urusan peribadi.
“FAM telah menerima surat maklumat daripada majikan mereka iaitu Kuala Lumpur City FC yang menyatakan bahawa kedua-dua pemain tersebut tidak dapat bersama skuad Harimau Malaya bagi persiapan menjelang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.
“Dengan ketiadaan Akram dan Declan, skuad Harimau Malaya akan meneruskan kem latihan pusat kali ini dengan baki 28 pemain lain termasuk seorang pemain dari Senarai Bersedia iaitu Fazly Mazlan, pertahanan kiri Selangor FC.
Seramai 17 pemain telah melapor diri, hari ini manakala baki 11 pemain akan menyertai pasukan secara berperingkat iaitu tujuh pemain Selangor FC dan dua pemain Johor Darul Ta’zim pada 5 Disember 2022; penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim pada 6 Disember 2022 selepas selesai kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan dan pemain FK Jablonec, Dion Cools pada 16 Disember 2022,” tulis kenyataan itu.
Harimau Malaya kini dalam persediaan untuk mengharungi Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 yang akan bermula pada 20 Disember 2022 dengan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama pasukan Laos, Myanmar, Singapura dan Vietnam.