“SYUKUR Alhamdulillah, pemain kita tunjuk aksi luar biasa malam ini,” kata jurulatih regu negara, Ahmad Zin, selepas menewaskan musuh tradisi Thailand 2-0 dalam aksi akhir Piala Asia di Stadium Titiwangsa.

Beliau menyifatkan kemenangan itu hasil kawalan bola pertama yang kemas dan servis bertenaga daripada tekong negara yang memberi tekanan awal kepada lawan.

Menurutnya, pemain negara bermain mengikut perancangan dan mengurangkan kesilapan, sekali gus menafikan kelebihan Thailand yang diketuai tekong berpengalaman, Sittipong Khamchan.

Malaysia mengekalkan trio utama Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias sepanjang kejohanan tanpa sebarang pertukaran kerana prestasi mereka kekal konsisten.

“Syahir servis dengan baik, Farhan kawal bola kemas dan Azlan pula agresif di jaring, semua beri mata mudah,” ujar Ahmad yang gembira dengan persefahaman mantap anak buahnya.

Beliau turut memuji mental pemain negara yang tidak goyah meskipun diasak dengan tekanan psikologi oleh pasukan lawan sepanjang perlawanan berlangsung.

Kini, tumpuan skuad negara beralih kepada acara berpasukan, dan Ahmad yakin kemenangan ke atas Thailand mampu membakar semangat untuk terus mencipta kejayaan.

PIX: FB PSM