PERSATUAN Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) membuktikan mereka bukan sekadar jaguh di gelanggang, malah kini mula diberi pengiktirafan setimpal apabila merangkul Anugerah Khas 2024 pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) yang berlangsung di sini, kelmarin.

Kejayaan itu bukan sahaja membanggakan komuniti orang pekak, malah menjadi penanda aras baharu buat persatuan sukan orang kurang upaya (OKU) yang selama ini kurang menonjol berbanding entiti sukan arus perdana.

Presiden MSDeaf, Ong Shin Reunn menganggap pengiktirafan itu sebagai satu bukti bahawa kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mula membuka mata terhadap usaha berterusan memartabatkan sukan pekak negara.

“Saya percaya anugerah ini akan membakar semangat kami untuk terus memajukan sukan ini secara menyeluruh, termasuk dari peringkat akar umbi hingga ke pentas antarabangsa. Kami mahu atlet Pekak juga dilihat mampu membawa pulang pingat, bukan sekadar menyertai,” katanya.

Lebih menarik, kejayaan ini juga dianggap sebagai hasil pendekatan baharu MSDeaf yang membuka pintu kepada penasihat korporat, sekali gus menyuntik elemen tadbir urus moden yang jarang dilihat dalam pengurusan sukan OKU sebelum ini.

Penasihat MSDeaf, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai tidak menafikan bahawa pencapaian itu datang hasil fokus kepada aspek pemasaran, pengurusan kewangan serta usaha menjadikan MSDeaf lebih berdikari dan tidak terlalu bergantung pada dana kerajaan semata-mata.

“Sudah sampai masanya kita ubah nasib atlet Pekak ini. Mereka berlatih keras, malah berdepan cabaran lebih besar dari atlet biasa. Jadi wajarlah sukan mereka mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya,” tegas beliau.

Anugerah ini juga dilihat sebagai pembakar semangat terbaik menjelang tiga kejohanan utama tahun ini termasuk Sukan Pekak Asia Tenggara di Jakarta Ogos ini, diikuti Sukan Orang Pekak Malaysia di Kuching pada Oktober dan kemuncaknya, Deaflympic Tokyo pada November.