PINGAT gangsa yang diraih di Kejohanan Boling Padang 7 Negara baru-baru ini bukan penamat buat pemain negara, Aleena Ahmad Nawawi, sebaliknya menjadi titik tolak untuk memburu kejayaan lebih besar di pentas Sukan Komanwel.
Walaupun berjaya menaiki podium, Aleena mengakui pencapaian itu belum menepati sasaran peribadinya yang mengimpikan pingat emas.
“Alhamdulillah saya gembira, tetapi belum berpuas hati kerana sasaran awal memang mahu emas. Bila dapat gangsa, saya tetap bersyukur tetapi tahu masih ada ruang untuk diperbaiki,” katanya.
Menurutnya, dari segi prestasi terdapat peningkatan ketara terutama dalam aspek kawalan ‘weight’ atau kelajuan bola ketika beraksi di kejohanan besar, berbanding siri ujian menentang Australia sebelum ini.
“Kawalan balingan kali ini jauh lebih baik dan itu beri keyakinan kepada saya,” katanya yang melihat perkembangan positif itu sebagai petanda baik menjelang kejohanan akan datang.

Bagaimanapun, beliau mengakui aspek membuat keputusan serta komunikasi bersama pasangan perlu dipertingkatkan bagi memastikan strategi permainan dapat diterjemahkan dengan lebih berkesan di gelanggang.
Menjelang temasya Komanwel, Aleena menegaskan konsistensi menjadi fokus utama dalam latihannya.
“Bagi saya, kalau konsisten dalam balingan, saya akan lebih tenang untuk fikirkan strategi permainan. Jadi fokus utama sekarang memang kepada konsistensi,” katanya.
Dalam menghadapi jadual latihan sepanjang Ramadan, beliau tetap komited mematuhi perancangan jurulatih sambil memastikan keseimbangan rohani dan fizikal terus terjaga.

“Saya ikut jadual latihan yang diberikan dan sentiasa beribadah untuk dapatkan ketenangan sepanjang persiapan ini,” katanya.
Secara peribadi, Aleena meletakkan sasaran jelas untuk terpilih ke Sukan Komanwel serta Sukan SEA 2027, dengan impian menghadiahkan pingat buat negara sekiranya diberi kepercayaan menyarung jersi kebangsaan.
FOTO: Bowls Malaysia