KEDUDUKAN ranking semasa Goh Jin Wei dilihat mampu melengkapkan skuad negara menjelang kempen Piala Uber apabila barisan perseorangan wanita kini memiliki keseimbangan lebih mantap.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen menegaskan pemilihan pemain profesional itu dibuat berdasarkan prestasi serta pengalaman yang dimilikinya dalam menghadapi kejohanan berpasukan.

Kenneth Jonassen melihat kehadiran Goh Jin Wei dalam skuad Piala Uber negara kali ini, sebagai satu percaturan menarik.
“Sudah tentu saya mahukan pasukan yang seimbang di mana kita berpotensi mempunyai tiga perseorangan wanita pada tahap hampir sama, yang agak unik,” katanya.
Menurut Jonassen, situasi itu menjadikan pasukan lebih stabil dan kompetitif, selain menegaskan kehadiran Jin Wei bukan sesuatu yang baharu dalam persekitaran skuad kebangsaan.
“Jangan lupa, dia juga sebahagian daripada pasukan Piala Sudirman tahun lalu, jadi kehadirannya bukan sesuatu yang baharu,” katanya.

K Letshanaa kini di ranking ke-38 dunia.
Beliau turut melihat peranan Jin Wei di ranking ke-55 dunia, sebagai perseorangan ketiga mampu memberi nilai tambah serta lebih pilihan taktikal kepada pasukan sepanjang kejohanan ketika K Letshanaa (38) dan Wong Ling Ching (41), di ranking lebih baik.
“Sebagai perseorangan ketiga, Jin Wei boleh memainkan peranan penting dan memberi lebih pilihan kepada pasukan, selain pengalamannya dalam acara berpasukan menjadi nilai tambah,” katanya, merujuk kepada kejohanan yang dijadual berlangsung di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.