KEDUDUKAN Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam Piala Thomas negara boleh dianggap pasti, sekali gus menjadikan skuad lelaki negara cukup sempurna di bahagian beregu.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky berkata, bekas pasangan nombor satu dunia itu telah bersetuju untuk menyertai skuad kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Piala Thomas 2026.

Menurut Rexy, pasangan profesional itu berkemungkinan bersama pasukan bukan sahaja bagi kempen Piala Thomas, bahkan sehingga ke Sukan Asia 2026.

Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky lega Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani segera memberi kata putus membantu skuad Piapa Thomas negara.

“Ya, mereka sudah beri jawapan. Bahkan sampai Sukan Asia juga,” katanya, ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Tambah beliau, tiada persoalan lagi mengenai calon pasangan beregu negara ke Piala Thomas apabila ranking dunia diambil kira, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (nombor dua dunia) dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (keenam) selain Sze Fei-Nur Izzuddin (kelapan).

“Melainkan ada keajaiban prestasi dipamer Arif (Junaidi)-King (Yap Roy King) di Terbuka Jerman dan Seluruh England,” ujar Rexy lagi.