PASUKAN Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) terus membuktikan status mereka sebagai kuasa baharu ragbi sekolah negara selepas berjaya mempertahankan kejuaraan MCKK Premier 7s 2026 buat tahun kedua berturut-turut.
SSMP mengesahkan kejuaraan selepas menewaskan pencabar utama, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 19-14 dalam aksi final kategori Cup edisi ke-14 yang berlangsung di padang Malay College Kuala Kangsar (MCKK), hari ini.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan SSMP mempertahankan Piala NJ Ryan selepas turut menundukkan SSTMI pada perlawanan akhir edisi lalu, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai antara pasukan paling konsisten dalam kejohanan berprestij ini.

Pemain SSMP turut memenangi Anugerah Pemain Terbaik Zaharuddin Alias menerusi Muhammad Ammar Zidan.
Pertembungan dua gergasi ragbi sekolah negara itu sekali lagi menghadirkan aksi berkualiti tinggi dengan kedua-dua pasukan saling berbalas asakan sebelum SSMP memastikan trofi kekal menjadi milik mereka.
Selain saingan utama kategori Cup, kategori Plate menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn (THOR) muncul juara selepas menewaskan Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) 24-19.
Dalam kategori Bowl pula, Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba (HOSBA) menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin (SEMSIRA) 17-12 untuk membawa pulang gelaran.
Sementara itu, kategori Shield dimenangi MRSM Balik Pulau selepas mencatat kemenangan dominan 22-0 ke atas Royal Military College (RMC).
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh YTM Raja Kecil Besar Perak Darul Ridzuan, Raja Dato’ Seri Azlan Muzzaffar Shah ibni Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang berkenan menyampaikan piala dan pingat kepada para pemenang.
Sepanjang tiga hari kejohanan berlangsung, MCKK Premier 7s 2026 menyaksikan 24 pasukan dari Malaysia, Jepun dan Indonesia berentap dalam saingan sengit, sekali gus mengukuhkan status kejohanan ini sebagai antara platform pembangunan ragbi sekolah paling berprestij di rantau ini.