SKUAD ragbi wanita Malaysia melakar detik bersejarah di Sukan SEA 2025 apabila meraih pingat perak, pencapaian terbaik pernah dicatatkan pasukan itu di pentas dwitahunan, meskipun tewas 37-0 kepada tuan rumah Thailand dalam perlawanan akhir di Stadium Dhupatemiya Royal Thai Air Force (RTAF), malam tadi.

Kejayaan menaiki podium perak ini menjadi lonjakan besar buat pasukan negara yang sebelum ini sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa, sekali gus membuktikan perkembangan positif ragbi wanita Malaysia di peringkat serantau.

Menurut media TVS, Pemain utama kelahiran Sarawak, Valerie Juan mengakui sasaran pasukan akhirnya tercapai walaupun berdepan lawan yang jauh lebih berpengalaman. “Saya sangat terharu dan gembira kerana dapat mencapai sasaran kami. Memang kami mensasarkan pingat perak,” katanya.

Valerie turut mengakui kekuatan Thailand yang jelas mendominasi aksi final, namun menegaskan pengalaman beraksi di pentas besar seperti ini amat berharga buat pembinaan pasukan. Rakan sepasukan, Josie Mavcellina Gone turut berkongsi pandangan sama apabila menyifatkan perlawanan akhir itu sebagai pengajaran penting.

“Tadi kami tidak sempat untuk melakukan apa-apa, bola hilang apabila berada di bahagian hadapan,” katanya jujur mengulas kekangan yang dihadapi pasukan.

Pencapaian ini juga tidak terlepas daripada sentuhan jurulatih berpengalaman, Sylvia Alexander Lian yang merupakan individu pertama menemui dan merekrut Valerie serta Josie, selain peranan besar ketua jurulatih, Mohamad Faiz Samsukhidir dalam membentuk skuad yang kompetitif walaupun berdepan pelbagai kekangan.

“Memang dari awal kami menyasarkan pingat perak, tetapi beberapa pemain diserang influenza, jadi harapan agak tipis. Namun, mereka tetap berikan komitmen yang tinggi,” katanya.

Mohamad Faiz menegaskan skuad ragbi wanita negara masih baharu di pentas antarabangsa, namun kejayaan meraih perak di Bangkok membuktikan kesungguhan dan kerja keras pemain mula membuahkan hasil. Beliau berharap pencapaian ini menjadi titik tolak untuk membuka lebih banyak peluang, sokongan dan pendedahan buat ragbi wanita Malaysia pada masa depan.