JANGAN pernah sesekali kita perkecilkan kesetiaan penyokong bola sepak tempatan dan juga jangan sesekali kita rasakan bahawa liga kita tidak mempunyai nilai komersil.

Ramai yang masih skeptikal tetapi lebih ramai yang percaya dengan kualiti dan nilai yang ada pada bola sepak tempatan. Pelbagai bukti telah ditunjukkan dan ianya disokong dengan data yang sememangnya penting di masa sekarang.

Biarkan mereka yang masih dijajah pemikiran menyokong pasukan luar umpama tanah tumpah darah mereka. Mungkin kerana mereka belum pernah mengecapi nikmat suasana bola sepak tempatan. Doakan hari mereka akan terbuka.

Semalam (Rabu) sekali lagi terbukti bahawa bola sepak kita masih punya penyokong yang setia dan yang menantikan penuh minat perlawanan Liga Super walaupun dilangsungkan pada pertengahan minggu dan serentak dengan Sukan Sea dan juga Piala Thomas.

Penyokong tuan rumah Negeri Sembilan FC turut memenuhi stadium ketika bertemu JDT.

Kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi bertepatan dengan kedudukan mereka sebagai 16 kelab terbaik Asia dan juga kedudukan Negeri Sembilan yang kini menerajui carta liga.

Pertemuan ‘top of the table’ ini berjaya menarik perhatian penyokong tempatan yang mahukan aksi berkualiti tinggi dan yang penting menyaksikan sendiri di stadium.

Para penyokong kelihatan teruja dan tidak kisah untuk beratur hampir 300 meter hanya untuk masuk ke stadium kerana mereka sudah menetapkan niat mahu menyokong pasukan kesayangan disamping berhibur bersama rakan-rakan.

Ada juga yang menjadikan STAR sebagai tempat pertemuan untuk bertemu di Hari Raya dan ini menambahkan lagi warna-warni bola sepak tempatan yang mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Akhirnya 22,224 penyokong yang hadir pada 10 Syawal ini disajikan aksi yang cukup menarik dan mendebarkan dari minit pertama hingga ke minit terakhir tambahan masa 10 minit dan akhirnya penyokong JDT pulang gembira.

Tidak cukup dengan 22 ribu penyokong di stadium, aksi ini juga turut mendapat 1.2 juta tontonan menerusi siaran langsung yang disiarkan di YouTube Unifi dan ianya jelas membuktikan perlawanan ini adalah tumpuan seluruh peminat bola sepak.

Jika dilihat dari sudut ekonomi, perlawanan semalam turut memberikan impak positif kepada kantung PBNS yang mungkin mencecah setengah juta Ringgit menerusi penjualan tiket.

Kehadiran pasukan keselamatan juga membuktikan sambutan ke stadium kembali ‘hidup’.

Selain itu, impak perlawanan ini turut membantu peniaga dan penjaja kecil di sekeliling stadium yang sudah dua tahun tidak merasai nikmat ini. Gerai burger dihadapan grandstand kehabisan daging dan roti hingga terpaksa mengupah ‘runner’ untuk menambah bekalan ekoran permintaan yang luar biasa dari penyokong yang hadir.

Selepas dua tahun dikekang dengan pelbagai SOP Covid-19, kini penyokong dilihat sudah matang dan bijak dalam memastikan keselamatan masing-masing di luar dan di dalam stadium hingga semuanya menjadi teratur dan selamat.

Tahniah kepada semua yang hadir dari pelusuk Negeri Sembilan dan pastinya dari Johor, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur. Anda buktikan bola sepak Malaysia masih mempunyai penyokong setia dan masih mempunyai nilai komersil.

Buat pengelola liga, segala data yang ada perlu diberi perhatian dan gunakan data ini untuk menarik lebih banyak ‘big guns’ untuk memberi tajaan kepada bola sepak kita. Jika bukan kita yang lakukannya, siapa lagi.