PENDEKATAN arahan percakapan semata-mata sudah tidak memadai – hinggakan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menuntut Aaron Chia-Soh Wooi Yik ‘khatam’ analisis video lawan bagi mengelak kesilapan sama menjelang misi mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China, bulan depan.

Strategi berasaskan pembelajaran visual itu kini menjadi senjata utama Herry dalam memastikan pasangan nombor satu negara tampil lebih tajam dan bersedia di gelanggang.

Menurutnya, analisis video memberi impak lebih mendalam berbanding arahan lisan yang sering kali tidak mampu diterjemah sepenuhnya oleh pemain ketika perlawanan.

“Biasanya selalu sebelum kejohanan, kita buat evaluasi menerusi rakaman video, jadi Aaron-Wooi Yik terutamanya saat set ketiga yang mana mereka akan buat kesilapan, kita ulang dan lihat kesilapannya.

“Kalau kita bercakap kepada pemain, telinga mereka dengar sahaja tetapi kalau lihat video, telinga dan mata juga akan melihat jadi akan lebih mudah.

“Itu yang saya lakukan supaya dia ulang tayang di dalam fikiran mereka dan mampu diperbaiki,” kata Herry selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Jelasnya lagi, pendekatan itu bukan sekadar membetulkan aspek teknikal, malah membantu pemain lebih tenang dan matang ketika berdepan detik genting terutama di set penentuan.

Dalam masa sama, Herry menegaskan fokus dari pusingan pertama lebih penting berbanding terlalu memikirkan laluan ke final, dengan pasangan Taiwan (Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin) sudah menanti sebagai ujian awal di Ningbo.