JIKA mahu mengangkat badminton setaraf sukan tenis, legenda badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei menyarankan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memberi tumpuan kepada penganjuran kejohanan lebih berkualiti dengan menawarkan hadiah lebih lumayan kepada para pemain pada masa hadapan.
Saranan itu dizahirkan Chong Wei ketika diangkat menjadi sebahagian daripada Dewan Kemahsyuran (Hall of Fame) BWF 2023 bersama kawan baiknya, Lin Dan dalam satu majlis berprestij yang berlangsung di Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Datuk Lee Chong Wei mahu BWF tumpu kepada kejohanan berprestij setaraf sukan tenis bagi mengangkat martabat badminton dunia./Pix BAM
Ujar bekas pemain nombor satu dunia itu, BWF juga patut mengkaji jadual padat kejohanan diharungi pemain sehingga menyebabkan kebanyakan mereka mudah ditimpa kecederaan.
Malah, baru-baru ini, pemain nombor 1 Dunia, Viktor Axelsen terpaksa menarik diri gara-gara mengalami kecederaan hamstring di Piala Sudirman di Suzhou, China.
Lee Zii Jia pula ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan kedua Kejohanan Malaysia Malaysia kerana kurang sihat.

Chong Wei dan Lin Dan (China) diangkat menjadi sebahagian daripada Dewan Kemahsyuran (Hall of Fame) BWF 2023./Pix BAM
“Saya rasa tidak sesuai untuk kami bekas pemain badminton membincangkan perkara ini (perubahan untuk tempoh lima hingga 10 akan datang dalam dunia badminton).
“Sepatutnya perkara ini perlu diajukan kepada BWF (Persekutuan Badminton Dunia) apa perubahan yang mereka mahu lakukan untuk tempoh yang mendatang, mungkin mereka akan menukar format mata perlawanan, sistem, ataupun mungkin menaikkan nilai wang kemenangan.

Chong Wei berasakan BWF ketika ini terlalu menumpukan kuantiti kejohanan berbanding kualiti./Pix BAM
“Ataupun mungkin memansuhkan beberapa kejohanan dalam tempoh setahun, dengan memberi tumpuan kepada kejohanan yang lebih berkualiti, misalnya tenis ada enam kejohanan utama, sebab saya rasa kalendar badminton ketika ini sangat gila, ia berlangsung secara berterusan.
“Disebabkan itu banyak pemain mengalami kecederaan dan saya harap BWF berupaya untuk menganjurkan enam ke lapan kejohanan yang berkualiti, menawarkan hadiah kemenangan yang lumayan, kerana ketika saya bermain, saya rasakan tumpuan mereka lebih kepada kuantiti, terlalu banyak kejohanan dan pemain bukannya robot,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.