MYKHAILO Mudryk mengejutkan dunia sukan apabila membuat keputusan meninggalkan bola sepak dan memilih untuk beralih ke olahraga dengan misi besar mahu menyertai Sukan Olimpik Los Angeles 2028 bersama skuad Ukraine.
Pemain berusia 24 tahun itu tidak lagi mempunyai masa depan dalam bola sepak selepas digantung kerana isu doping pada 17 Disember 2024 yang menutup kariernya di pentas profesional bersama Chelsea.
Chelsea sebelum ini melabur besar apabila membayar 100 juta euro (RM 495 juta) kepada Shakhtar Donetsk pada tahun 2023 untuk mendapatkan khidmat Mudryk yang ketika itu dianggap prospek masa depan Eropah namun perjalanan kariernya tidak berlangsung seperti diharapkan.
Penggantungan akibat doping menjadi titik hitam yang menghancurkan segala perancangan yang dibina sejak awal karier dan kini Mudryk memilih untuk membuka lembaran baharu dalam dunia olahraga.
Bekas pemain sayap itu difahamkan akan menumpukan perhatian kepada acara pecut dengan menggunakan kelebihan kepantasan yang pernah menjadi senjata utama di padang bola sepak dan persiapan awal bersama pasukan jurulatih khas dijangka bermula dalam masa terdekat.
Peralihan drastik ini menjadi tanda tanya sama ada Mudryk mampu menukar kegagalan dalam bola sepak kepada kejayaan di pentas Olimpik atau sekadar mencatat satu lagi kisah penuh drama dalam dunia sukan antarabangsa.