PERAK Bison mengesahkan slot ke final selepas menewaskan Terengganu Turtles dengan kemenangan 2-1 dalam perlawanan separuh akhir Sepak Takraw League (STL) Premier GP Penang di Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang pada Ahad.

Perak Bison menurunkan barisan yang dibarisi Kritsada (tekong) Aidil (apit kiri) dan Noraizat (apit kanan), mereka tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan 15-11 dalam set pertama

Walau bagaimanapun, Terengganu Turtles  yang dibarisi Zulkifli (tekong) Zulhusni (apit kiri) dan Aman (apit kanan) tidak menyerah kalah dengan mudah, apabila mereka bangkit pada set kedua dan berjaya menewaskan Perak Bison dengan keputusan 15-5.

Noraizat berjaya membuat sepakan gulung yang memberi mata kemenangan kepada Perak Bison

Pada set penentuan, Perak Bison kembali dengan lebih garang apabila pemain apit kanan mereka, Noraizat, menjadi wira apabila melakukan sepakan gulung yang kencang, sekaligus menamatkan perlawanan dengan kemenangan 15-8.

Kemenangan ini memberikan makna yang besar kepada Perak Bison, terutamanya selepas menduduki tempat ketiga dalam liga pada minggu sebelum ini.

Kini, Perak Bison bersedia menanti cabaran seterusnya di final bertemu KL Thunder dengan misi untuk menjulang trofi kejuaraan GP.