KEHANGATAN cabaran KL Fight League 2024, membakar semangat penganjur untuk menyediakan platform pertarungan lebih besar tahun hadapan, apabila merancang menjadikan kejohanan itu sebagai pertandingan antarabangsa.
Directorate KL Fight League, Muhammad Ayub Mohd Jamal berkata, kejayaan edisi 2024 yang berakhir 8 Disember lalu, menerbitkan keyakinan bahawa KL Fight League International 2025, mampu menarik minat penyertaan luar negara.
“Bagi acara utama iaitu Pro League, kita akan libatkan penyertaan antarabangsa, insyaAllah dari Thailand, Kemboja, Singapura dan Vietnam.
“Malah kategori ini juga, kita akan menambah dua lagi kategori mengikut berat badan baik lelaki mahupun wanita,” kata Muhammad Ayub kepada FLASH SUKAN.

Directorate KL Fight League, Muhammad Ayub Mohd Jamal yakin KL Fight League International 2025 lebih cabaran dan meriah.
Menjadikan cabaran lebih menarik bagi penganjuran KL Fight League International 2025, beliau berkata, bakal pemenang bagi kategori tahun hadapan, akan menempuh perlawanan tambahan selepas final.
Tambah Muhammad Ayub, biarpun memenangi pertarungan final, pemenang setiap tiga kategori perlu berdepan juara bertahan 2024, sebelum menjulang tali pinggang kejuaraan sebenar.

Wan Mohd Saiful (kanan) muncul juara Pro League (51-54kg) pada Kl Fight League 2024.
“Dengan cara ini, pertarungan lebih menarik dan ia menampakkan seperti ‘The King Stay’ kerana juara 2024 boleh mempertahan kejuaraan,” ujar Muhammad Ayub lagi.
Meskipun mahu menaik taraf saingan Pro League, beliau menegaskan bahawa pertandingan bagi peringkat akar umbi untuk tujuan pembangunan akan diteruskan menerusi Muay Kelas A.

Zul Fadlee membuktikan pengalaman membawanya menjulang kejuaraan Pro League (57-60kg), Kl Fight League 2024.
Malah, penyertaan tahun hadapan mungkin mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM): “Kita masih cuba mendapatkan kelulusan daripada KPM agar kategori Muay Kelas A amatur peringkat sekolah, diberi markah untuk aktiviti Ko-kurikulum menerusi penyertaan di KL Fight League 2025.
Katanya, kejohanan yang dijadual bermula di pusingan saringan pada Mei, suku akhir pada Julai, separuh akhir pada September dan akhir pada November itu akan diumumkan secara rasmi dalam satu sidang media, pada Januari 2025.

Ecah Gomo (kanan) ditumbuk Eva Anatasia, namun masih mampu meraih kejuaraan.

Pada final KL Fight League 2024 lalu, kategori Pro League (41-54 kg) dimenangi Wan Mohd Saiful, manakala Pro League (57-60 kg) pula dimenangi Zul Fadlee.
Bagi Pro League wanita (45-48 kg) pula dimenangi Ecah Gomo.