PEMAIN tengah Harimau Malaya, Azam Azih terfikir untuk bersara awal daripada permainan kerana masalah kecederaannya yang sering membelenggu dirinya.
Bagaimanapun, pemain Sri Pahang FC itu masih ingin beraksi bersama negara tetapi mengakui ia akan menjejaskan kesihatan mentalnya.
Azam, 28, telah mengalami pelbagai pengalaman buruk dengan kecederaan.
Dia mengalami kecederaan pada lutut dan hamstring, yang mengetepikan dia daripada panggilan kebangsaan pada Jun lepas.
“Dengan taktikal jurulatih (Kim Pan-gon) apa semua saya tak boleh ikut sebab tempo permainan dan latihan pasukan kebangsaan memang laju.
“Dapat (kecederaan) lima tahun lepas memang saya macam down. Ada satu tahun itu memang saya down saya terfikir betulkah saya berhenti.
“Alhamdulillah call-up kali ini KPG panggil saya semula selepas sebelum ni saya dapat tiga kali kecederaan di Pahang yang membuat saya hilang keyakinan semula nak main tahun ini.
“Jurulatih bagi peluang sekali lagi dan Insya Allah kalau diberi peluang bermain, saya buat yang habis baik. Ini peluang dan perkara yang membakar semangat saya bagi membuktikannya dalam perlawanan,” katanya selepas sesi latihan Harimau Malaya di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya pada Jumaat.

Kim Pan-gon tetap mempercayai bakat dan kemahiran dimiliki Azam Azih.
Pada Mac lalu, persembahan Azam untuk Harimau Malaya menentang Turkmenistan dan Hong Kong dikecam hebat netizen.
Pemain Tok Gajah itu mengucapkan terima kasih kepada isterinya, Iffa Najiha Nor Zin kerana sentiasa menyokongnya ketika menghadapi saat genting.
“Isteri saya memang dia selalu bagi semangat dan ada pesan kat saya memang kita sebagai pemain ada turun naik. Tapi kita kena atasi dan macam mana kita nak nak mengatasi,” katanya lagi.
Skuad negara akan menentang Syria pada 6 September dan diikuti bertemu China tiga hari kemudian dalam aksi persahabatan di Chengdu.