PEMAIN pertahanan kebangsaan, Dion Cools mengakui dia gembira melihat kesemua pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat bagi menghadapi dua aksi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Syria dan China di Chengdu, China pada September.

Cools yang tidak dapat mengikuti kem pada Jun lalu ekoran melangsungkan perkahwinan kini kembali memperkuatkan barisan pertahanan Harimau Malaya yang bakal menghadapi perlawanan di laman lawan selepas hampir setahun.

“Kebanyakan pemain adalah pemain yang sama seperti sebelum ini kerana ianya penting untuk tidak terlalu mengubah pemain kerana semua sudah tahu peranan masing-masing dan semuanya dalam keadaan sehati sejiwa.

“Gandingan pemain baharu dan lama ini sedang berada dalam keadaan yang gembira tetapi serius dalam latihan. Semua dalam keadaan baik dan saya harap kami dapat memberikan keputusan yang cemerlang kali ini,” katanya dalam sidang media hari kedua kem latihan pusat.

Cools juga tidak merasakan tekanan apabila diberikan tanggungjawab sebagai kapten sebaliknya bangga dan sentiasa mahu mencapai kemenangan apabila menyarung jersi keramat Harimau Malaya.

“Saya berbangga dapat memakai lilitan lengan kapten Harimau Malaya. Saya rasa bertanggungjawab setiap kali beraksi di atas padang dan sentiasa mahu mencapai kemenangan setiap kali menyarung jersi kebangsaan.

“Tanggungjawab sebagai kapten ini juga menambah motivasi buat saya dan saya lihat perkara ini sebagai sesuatu yang positif dan bukannya negatif,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, pemain Buriram United itu juga turut mengatakan bahawa Liga Malaysia sebenarnya mempunyai kualiti yang baik seperti Liga Thailand dan apa yang penting adalah menggunakan pengalaman yang ada pada liga untuk pasukan kebangsaan.