MISI Muhammad Azeem Fahmi mencatat masa lebih baik di final 100 meter (m) Kejuaraan Trek dan Padang SEC di Loisiana, awal pagi tadi, tidak kesampaian, ketika dia menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh daripada sembilan pelari.

Begitupun, catatan masa dilakukan pelari pecut negara yang mewakili Auburn Universiti pada final itu tetap meyakinkan apabila merakam 10.25 saat (s).

Perlumbaan dimenangi Godson Oghenebrume dari Universiti LSU dengan catatan 10.04s, kedua rakan sepasukan Azeem, Favour Ashe (10.08s) dan ketiga juga pelari LSU, Dorian Camel (10.19s).

Pada perlumbaan itu, Azeem bermula dengan baik namun   gagal mengekalkan momentum larian sebagaimana aksi pada saringan semalam, yang menyaksikan dia mempertingkat kelajuan pada 60m terakhir.

Walau bagaimanapun, pengalaman berharga Azeem berlari bersama pelari berkelas dunia pasti akan dapat meningkatkan lagi momentumnya dan sekurang-kurangnya sentiasa melakukan catatan bawah 10.30s.

Pada saringan, Azeem melakukan catan 10.11s.

Sementara pada perlumbaan di East Coast Florida bulan lalu, Azeem melakukan catatan 10.14s, manakala di Kejuaraan Florida State Universiti (FSU), dia mencipta masa 10.32s.

Azeem menetapkan sasaran untuk melakukan catatan 10.00s bagi melayakkannya ke Kejuaraan Dunia di Budapest, Hungary, Ogos depan.

Untuk rekod, pemenang larian itu, Oghenebrume dan Ashe adalah pelari yang berasal dari Nigeria.

Oghenebrume memiliki catatan peribadi terbaik 9.97s yang dilakukan April lalu, manakala Ashe memiliki catatan peribadi terbaik 9.79s yang dilakukan April tahun lalu.

Azeem menaruh harapan menjadi rakyat Malaysia pertama mencatat masa di bawah 10.00s, selepas kejayaannya mencipta rekod kebangsaan 10.09s di Kejohanan Dunia bawah 20 tahun di Cali, Columbia tahun lalu.