PELARI pecut Malaysia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi berkongsi kisah perjalanan kariernya.
Azeem, yang berasal dari Teluk Intan, mengimbau kenangan manis sepanjang tempoh sedekad dalam arena sukan, yang menyaksikan pencapaian terbesarnya adalah di Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China.
Azeem berjaya menamatkan penantian selama 41 tahun bagi Malaysia untuk meraih pingat dalam acara pecut 100 meter di Sukan Asia.
Menurut Azeem, ia merupakan satu momen yang amat bermakna dalam kariernya kerana dia mengakui telah meletakkan lebih daripada 100 peratus usaha untuk mencapai kejayaan di Sukan Asia tersebut.
“Dalam tempoh 10 tahun ini, pencapaian terbesar saya adalah di Sukan Asia kerana itu adalah medal pertama saya di peringkat senior.
“Itulah kejohanan terbesar bagi saya, dan saya mengakui saya meletakkan lebih daripada 100% usaha saya untuk berada di Sukan Asia sewaktu itu,” katanya dalam sebuah temubual eksklusif bersama Majlis Sukan Negara.
Walau bagaimanapun, perjalanan Azeem tidak selalunya lancar. Kejohanan pertamanya di Sukan SEA di Vietnam berakhir dengan kekecewaan apabila penyertaannya dibatalkan.
Namun, dia tidak pernah berputus asa dan terus berusaha gigih menyertai pelbagai kejohanan dunia walaupun tidak memperoleh kejayaan di sana.
“Kejohanan pertama saya dalam sukan Sea di Vietnam dibatalkan dan kemudian selepas daripada itu tiada kejohanan-kejohanan besar, saya banyak pergi ke World Championship dan kejohanan lain tetapi tiada rezeki saya disitu,” ujarnya.
Menjadi seorang atlet sambil meneruskan pelajaran merupakan cabaran yang besar buat Azeem. Sebelum berangkat ke China untuk Sukan Asia, beliau terpaksa memohon kebenaran daripada penasihat akademiknya untuk meninggalkan kelas selama beberapa minggu.
“Saya pulang seminggu awal sebelum berangkat ke China dan berada di sana hampir dua minggu sebelum acara bermula,” katanya.
Namun, segala usaha keras akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh pingat gangsa di Sukan Asia 2023.
“Itulah momen yang paling tidak dapat saya lupakan kerana semua pengorbanan saya selama ini akhirnya berbaloi,” jelasnya.
Azeem turut menekankan betapa pentingnya sokongan daripada ibu bapa, guru-guru, dan orang sekeliling dalam kejayaannya.
“Saya tidak nafikan benda itu sebab bagi saya ibu bapa, cikgu-cikgu dan orang sekeliling adalah sebab terbesar dimana saya berada sekarang dan mereka adalah faktor terbesar mengapa saya berada di sini sekarang,” tegasnya.
Azzem juga memberikan nasihat berharga kepada atlet-atlet muda, mengingatkan mereka agar tidak mengabaikan pelajaran.
“Pelajaran sangat membantu, bukan sahaja dalam kehidupan tetapi juga dalam membuat keputusan yang lebih baik.
“Sejauh mana pun kita pergi, dorongan serta doa ibu bapa itulah senjata rahsia yang kita sendiri tidak pernah sangka sekuat itu bantuannya.
“Teruskan berada dalam golongan orang yang positif, percaya pada diri sendiri, dan apabila anda sudah bermula, pastikan anda menghabiskannya.”
Azeem bukan sekadar seorang atlet, tetapi contoh teladan buat generasi muda, menunjukkan bahawa kejayaan dalam sukan dan pelajaran boleh dicapai dengan dedikasi, sokongan, dan semangat yang tidak pernah luntur.