TIADA gelaran juara yang dibawa ke dalam gelanggang Super 100 Malaysia, dan pasangan Aaron Tai-Kang Khai Xing melupakan kepenatan Ahad lalu.

Aaron-Khai Xing yang masih segar dengan gelaran juara remaja dunia di Nanchang, China, tidak memandang ringan cabaran di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Kang Khai Xing yakin percaturan yang betul mampu membawa dia dan Aaron mara lebih jauh.

“Dari segi fizikal, merosot sedikit tetapi kami fokus kepada setiap pukulan dan mata, cuba untuk menang,” kata Khai Xing.

Pada pusingan pertama Super 100 Malaysia hari ini, Aaron-Khai Xing menang ke aras pasangan Taiwan, Chiang Chien Wei-Wei Chun Wei 18-21, 21-17, 21-19 dalam tempoh 53 minit.

“Selepas tewas set pertama, kami cuba untuk tidak mengangkat bola tinggi dan ia menghalang lawan dari melakukan serangan,” tambah Khai Xing.

Justin Hoh mara ke pusingan seterusnya.

Pada pusingan kedua esok, pasangan muda negara itu akan berdepan satu lagi pencabar dari Taiwan, Wu Hsuan Yi-Ye Hong Wei.

Sementara itu, perseorangan lelaki Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Justin Hoh melangkah ke pusingan berikutnya, selepas mengatasi pemain India, Abishek Yeligar 22-20, 21-14.

Turut mara, perseoranfan wanita, K Letshanaa yang mengatasi rakan senegara, Ung Yi Xing 21-10, 21-8.