PELUMBA trek negara, Datuk Azizulhasni Awang kembali menggegarkan pentas antarabangsa apabila menakluk podium dalam perlumbaan keirin lelaki siri pembukaan Piala Dunia Trek di Perth, Australia, semalam.

Bekas juara dunia keirin itu mempamerkan pecutan sempurna pada saat akhir untuk menewaskan pelumba nombor satu dunia dari Britain, Matthew Richardson di garisan penamat.

Datuk Azizulhasni Awang selepas dikalungkan pingat kemenangan di Perth, Australia.|FOTO Facebook Azizulhasni Awang

Azizul yang terkenal dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ melakukan pecutan agresif dari belakang sebelum memintas Richardson dengan perbezaan tipis 0.002 saat.

Tempat ketiga perlumbaan di SpeedDome Velodrome menjadi milik pelumba tuan rumah, Leigh Hoffman dari Australia.

Photo finish menunjukkan betapa tipis jurang kemenangan The Pocket Rocketman berbanding Matthew Richardson.

Kejayaan itu lebih manis apabila Richardson dianggap pilihan utama selepas tampil dengan rekod tanpa kalah sejak pusingan awal hingga separuh akhir.

Sebaliknya, Azizul terpaksa menempuh laluan lebih sukar apabila sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada pusingan pertama sebelum mara melalui saingan repechage.

Pelumba berusia 37 tahun itu kemudian menamatkan perlumbaan di tempat kedua di separuh akhir di belakang pelumba Jerman, Maximilian Dornbach untuk layak ke final.

Kemenangan itu juga menjadi bukti kebangkitan Azizul selepas hanya kembali ke trek pada Oktober tahun lalu selepas berehat hampir setahun susulan kekecewaan di Sukan Olimpik Paris 2024