CORAK permainan terlalu defensif memakan diri beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah apabila langkah mereka terhenti di separuh akhir kejohanan Seluruh England selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan.

Pasangan ranking kedua dunia itu terpaksa akur selepas tunduk 17-21, 18-21 kepada Baek Ha Na-Lee So Hee dalam pertarungan selama 69 minit di Utilita Arena, Birmingham.

Pearly mengakui lawan yang berada di ranking keempat dunia itu bermain lebih sabar dalam setiap rali sehingga memberi tekanan berterusan kepada mereka.

“Dalam setiap rali saya rasa mereka lebih tenang dan sabar berbanding kami dan kami pula terlalu terburu-buru terutama pada beberapa mata terakhir,” kata Pearly, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menurutnya, kegagalan mengawal emosi dan rentak permainan pada saat genting menjadi faktor utama mereka gagal memaksa perlawanan ke set penentuan.

Sementara itu Thinaah berkata mereka juga terlalu banyak bertahan sehingga memberi ruang kepada lawan untuk terus menguasai permainan.

“Saya rasa pada beberapa mata kami terlalu defensif sedangkan kami sepatutnya melakukan lebih banyak serangan balas,” kata Thinaah.

Kekalahan itu menyaksikan rekod pertemuan kedua-dua pasangan kini memihak lawan 4-3 selepas tamat kempen Seluruh England edisi tahun ini.

Bagaimanapun, beregu harapan negara ini sudah mempamerkan konsistensi yang baik apabila muncul juara (Masters Indonesia) sekali, separuh akhir dua kali (Terbuka India dan Seluruh England) daripada empat kejohanan disertai.