KETUA jurulatih hoki lelaki negara, Sarjit Singh menegaskan kekalahan kepada Jepun dalam aksi penentuan tempat ketiga kelayakan Piala Dunia bukan sesuatu yang boleh diterima, malah pemain perlu mengambil tanggungjawab untuk memperbaiki prestasi menjelang kejohanan utama akan datang.
Menurutnya, meskipun skuad negara sudah pun mengesahkan tiket ke Piala Dunia sebelum perlawanan itu bermula, ia bukan alasan untuk mempamerkan aksi di bawah tahap sebenar.
Sarjit berkata, dari segi keseluruhan permainan, Malaysia sebenarnya memulakan aksi dengan baik apabila berjaya menggerakkan bola dengan kemas dan mendahului 3-1 sebelum Jepun bangkit menyamakan kedudukan dan seterusnya meraih kemenangan.
“Dari segi prestasi, saya rasa tidaklah terlalu teruk. Kita menggerakkan bola dengan baik dan sempat mendahului 3-1, namun kita membenarkan mereka untuk bangkit semula,” katanya selepas perlawanan di Ismailia, Mesir.
Beliau mengakui faktor keletihan mungkin memainkan peranan selepas pemain mengharungi enam perlawanan sepanjang kejohanan, namun menegaskan perkara itu tidak boleh dijadikan alasan.
“Mungkin selepas enam perlawanan pemain agak letih, tetapi kita sepatutnya memenangi perlawanan ini. Tiada alasan,” katanya.
Sarjit turut mengakui persembahan skuad negara dalam perlawanan itu tidak mencapai standard yang ditetapkan, malah permainan dilihat agak ragu-ragu berbanding aksi yang ditampilkan dalam beberapa perlawanan sebelumnya.
“Secara keseluruhan dalam kejohanan ini kita bermain dengan baik kecuali hari ini. Prestasi kita tidak mencapai standard dan permainan kita agak ragu-ragu, tidak seperti empat perlawanan sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tetap berpuas hati kerana misi utama pasukan ke kejohanan itu untuk melayakkan diri ke Piala Dunia sudah berjaya dicapai.
Menurutnya, fokus kini beralih kepada persiapan menghadapi Piala Negara-Negara yang dijadual berlangsung dalam tempoh tiga bulan lagi, selain persiapan jangka panjang ke arah Piala Dunia dan Sukan Asia.
Sarjit berkata, pemain perlu menggunakan tempoh enam bulan akan datang sebaik mungkin untuk meningkatkan tahap permainan termasuk aspek penyudah di hadapan gol.
“Semua pemain perlu sedar dan mengambil tanggungjawab untuk bekerja lebih keras serta menjaringkan gol,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa sebaik pulang ke tanah air nanti, pemain akan kembali beraksi dalam Liga Hoki Kebangsaan selama kira-kira dua bulan sebelum pasukan kejurulatihan mengadakan perbincangan dengan Konfederasi Hoki Malaysia bagi merangka program persediaan terbaik menjelang cabaran seterusnya.