BELUM pun rasmi menggantung basikal, nama Datuk Azizulhasni Awang sudah mula menjadi sebutan sebagai calon jurulatih — bukan sahaja di Malaysia, malah turut menarik perhatian negara luar.

Namun, atlet keirin negara itu mengakui masih belum bersedia untuk terjun sepenuhnya ke dunia kejurulatihan kerana merasakan masih banyak lagi ruang dan misi yang ingin dicapainya dalam skala lebih besar.

Azizul berkata demikian ketika mengulas komen Setiausaha Agung Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), Kozim Urinboykhujaev yang secara terbuka menyatakan kesediaan untuk menerima Azizulhasni sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Uzbekistan dalam acara pecut.

Flash Sukan semalam melaporkan beliau tidak lagi disebut sebagai sandaran utama negara dalam acara trek bagi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sebaliknya nama Mohd Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Rosli menjadi pilihan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

“Sebenarnya banyak juga negara luar yang tanya masa dia orang tahu saya mengambil keputusan untuk rehat. Mereka ada hubungi saya, email, Instagram dan sebagainya. Tapi saya cakap, buat masa ni saya perlukan masa.

“Memang saya suka juga coaching sebenarnya, tapi saya tidaklah melihat saya ni boleh jadi jurulatih sepenuh masa,” katanya.

Tambah Azizulhasni, walaupun dunia kejurulatihan menarik minatnya, beliau lebih cenderung untuk memainkan peranan dalam pembangunan sukan yang lebih menyeluruh — bukan hanya terhad kepada acara pecut atau berbasikal semata-mata.

“Kalau jadi coach tu kat situ je kita boleh baiki kan, improve kat situ. Tapi saya harap di masa hadapan, saya boleh ada satu role yang mana saya boleh untuk menambah baik skill saya in a big scale. Bukan sahaja saya, sukan lain juga hopefully. Mungkin satu masa bila saya dah capai matlamat, saya tahu saya akan buat coaching,” jelasnya.