SELEPAS lebih sedekad berada dalam barisan kepimpinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mumtaz Jaafar akhirnya akur dengan ketentuan pemilihan apabila gagal mempertahankan kerusi Naib Presiden sejak 2013.
Mumtaz, bekas jaguh pecut wanita negara, memegang jawatan itu selama empat penggal namun 52 undi yang diperolehnya pada pemilihan kali ini, menyaksikan beliau hanya menduduki tempat keenam sekali gus gagal meneruskan khidmat di MOM.
Tempatnya kini diisi bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah yang melakar sejarah tersendiri apabila dipilih buat julung kalinya ke dalam badan induk sukan tanah air itu.

Nurul Huda Abdullah
Biarpun pertama kali menyertai pemilihan, Nurul Huda yang juga Penolong Setiausaha Agung Renang Malaysia (MS), tidak menyifatkan kemenangan itu sebagai beban, sebaliknya satu amanah besar dalam perjuangan memperkasakan wanita dalam arena sukan.
“Saya ingin ucap terima kasih kepada semua ahli dan ahli gabungan OCM atas sokongan yang sangat luar biasa. Minggu lalu cukup mendebarkan, tetapi akhirnya saya berdiri di sini bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk wanita dalam sukan,” kata Nurul Huda, ditemui selepas diumumkan pemenang satu daripada lima slot Naib Presiden MOM.
Menurut Nurul, antara keutamaannya ialah memastikan lebih ramai wanita diberi peluang di pelbagai peringkat, sama ada sebagai atlet, jurulatih, pegawai teknikal mahupun pentadbir.

“Saya percaya, kita perlukan ekosistem sukan yang lebih inklusif. Ia selari dengan agenda kerajaan, matlamat pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan juga misi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC),” katanya.
Bekas pemenang 22 pingat emas Sukan SEA itu juga mengakui keputusan untuk bertanding bukan sesuatu yang mudah, namun beliau terdorong selepas menerima pelbagai mesej dan panggilan sokongan daripada rakan seperjuangan dalam sukan.
“Saya percaya, setelah sekian lama berjuang sebagai atlet, inilah masa untuk memberi semula. Saya mahu pastikan sukan terus berkembang bukan hanya di Lembah Klang, tetapi seluruh negara,” katanya.