PADANG MBK 1, di Kuantan, Pahang bertukar menjadi lautan hijau sempena sambutan ulang tahun ke-75 Milo di Malaysia yang berlangsung meriah semalam, dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

Keberangkatan Paduka Baginda pada jam 7.50 pagi disambut penuh adat istiadat, sebelum Baginda berkenan melepaskan lebih 3,000 peserta Larian Milo sejauh tiga kilometer yang membuka tirai sambutan bersejarah itu.

Turut mencuri perhatian, Tunku Azizah sendiri berkenan menyertai larian berkenaan, mencemar duli bersaing langkah bersama rakyat sambil sempat beramah mesra dan memberi semangat kepada peserta dari pelbagai lapisan usia.

Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj turut berkenan menyertai Larian Milo sejauh tiga kilometer. (Sumber Gambar: IG Kesultanan.Pahang)

Usai larian, Paduka Baginda berkenan melawat reruai-reruai pameran yang memaparkan sejarah perjalanan Milo di Malaysia, selain aktiviti gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang yang menjadi teras kempen jenama ikonik berkenaan.

Majlis kemudian diteruskan dengan santapan ringan sebelum Baginda berangkat pulang.

Acara sambutan ulang tahun ke-75 Milo ini juga menjadi penutup kepada siri jelajah Milo Malaysia Breakfast Day 2025 yang sebelum ini diadakan di beberapa lokasi lain termasuk Putrajaya, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Keseluruhan siri jelajah menyaksikan penyertaan lebih 75,000 rakyat Malaysia.

Tunku Azizah turut berkenan beramah mesra bersama rakyat selepas acara Larian Milo. (Sumber Gambar: IG Kesultanan.Pahang)

Diperkenalkan di Malaysia sejak tahun 1950, Milo bukan sekadar minuman sarapan pagi, tetapi telah berkembang menjadi simbol tenaga, semangat kesukanan dan gaya hidup aktif.

Seiring sambutan ulang tahun bersejarah ini, Milo turut memperkenalkan program “Minum & Tebus” yang membolehkan pengguna menebus barangan eksklusif dengan pembelian produk tertentu – satu lagi langkah jenama itu menghargai kesetiaan pengguna sepanjang lebih tujuh dekad.

Sumber Berita dan Foto: Instagram kesultanan.pahang