NURUL Izzah Izzati Mohd Asri akan terus kekal bersama Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, membentu trio latihan intensif sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.
Ketua Jurulatih Berbasikal Kebangsaan, John Beasley berkata, kem latihan kebangsaan akan bermula Isnin depan di Veledrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan, namun beliau dan Azizulhasni hanya akan turut serta pada selepas Rabu.
Ini berikutan, beliau akan mengiringi Azizulhasni ke London bagi mendapatkan ujian aero (aero test), selepas jaguh pecut trek negara itu terlepas beberapa kali ujian itu berikutan menumpukan perhatian kepada bayinya yang baru lahir dan masalah jantung.

Datuk Azizulhasni Awang, ketika meraih pingat emas di ACC2023.
“Sabtu ini saya akan menunggu Azizulhasni di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), dia dari Melbourne (Australia) dan kami akan terus ke London untuk Aero Test, hanya akan kembali pada Rabu.
“Selepas itu pada Mei, saya akan bawa mereka ke Jepun sebelum kembali, bagi membolehkan mereka menyertai Kejohanan Trek Kebangsaan yang dijadual 20 hingga 24 Mei.
“Untuk kejohanan kebangsaan itu, ianya akan menjadi pentas latihan buat tiga pelumba ini,” kata Beasley.

Muhammad Shah Firdaus terus mempamerkan peningkatan dalam setiap kejohanan disertainya.
Ujian aero penting bagi pelumba basikal dalam menentukan tahap efisiensi aerodinamika pelumba, dan data yang diperoleh akan digunakan bagi meningkatkan prestasi pelumba.
Tambahnya lagi, bermula Jun, tiga pelumba yang layak ke Olimpik Paris ini akan memulakan latihan di luar negara.

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Muhammad Ridwan Sahrom tiba di KLIA semalam. Hanya dua pelumba negara mengam bil bahagian di Piala Negara-Negara UCI, di Milton, Kanada.
“Mereka akan ke Belgium selama tiga minggu, menjalani latihan dan menyertai beberapa kejohanan di sana, selepas itu ke kem latihan pusat di Mallorca, Sepanyol sebelum terakhir di London.”
Beasley turut mengesahkan Azizulhasni dan Shah Firdaus bakal mendapat basikal baharu yang dinaik taraf daripada basikal Olimpik Tokyo.
“Ya basikal baharu buat Azizulhasni, Shah dan Izzah juga.. basikal ini adalah dinaik taraf daripada basikal Tokyo, melibatkan penggunaan teknologi baharu,” ujar Beasley.