PEMAIN pertahanan kanan Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Azrif Nasrulhaq sah menandatangani kontrak bersama Sri Pahang FC bagi saingan musim baharu 2024.

Walaupun sebelumnya Azrif telah beraksi untuk Sri Pahang dengan status pemain pinjaman, kini dirinya telah membuat pilihan untuk menjadi pemain tetap Sri Pahang dengan kontrak selama dua musim.

Penghijrahan pemain kelahiran Selangor ke skuad ‘Tok Gajah’ itu dikongsikan sendiri oleh Sri Pahang FC melalui satu kiriman yang dimuat naik ke laman X.

“Bek kanan, Azrif Nasrulhaq telah menandatangani kontrak selama dua musim untuk terus bersama Sri Pahang FC.

“Azrif pada musim lalu berstatus pemain pinjaman dari JDT dan menyerlah sebagai salah seorang pemain utama.

“Beliau komited mahu membawa lebih kecemerlangan dalam prestasi seterusnya melonjakkan pasukan ke aras lebih tinggi,” menurut kenyataan Sri Pahang di laman X.

Untuk rekod, Azrif telah berjaya menjaringkan satu gol dan juga satu bantuan jaringan buat pasukan Sri Pahang dalam keseluruhan 29 perlawanannya sepanjang musim 2023.