SEDANG menjadi tanda tanya mengenai kelab bola sepak yang bakal menggantikan Kelantan FC dalam saingan Liga Super musim 2024-2025.
Perkara ini tercetus apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa permohonan lesen luar biasa telah dibuka kepada semua kelab M3 Liga Bola Sepak Amatur (AFL) untuk menyertai Liga Super.
Artikel Berkaitan: MFL tawar permohonan lesen luar biasa kepada kelab M3 untuk sertai Liga Super
FLASH SUKAN telah mendapatkan komen daripada pengendali Imigresen FC, Mat Zan Mat Aris tentang sejauh mana harapannya untuk melihat pasukan nombor satu M3 itu bermain di Liga Super.
Menurutnya, saingan Liga M3 dan Liga Super mempunyai perbezaan ketara namun untuk melihat Imigresen ke Liga Super adalah satu perkara yang baik.

Tetapi, mungkin masalah daripada segi penaja telah menjadi faktor yang menyebabkan Imigresen FC sukar untuk ke pentas besar Liga Malaysia.
“Pada pandangan saya, jikalau Imigresen FC ada penaja, mungkin harapan ke Liga Super itu sedikit cerah.
“Sesuatu pasukan yang ingin ke Liga Super perlu kemaskini struktur pasukan seperti mendapatkan pemain import yang cemerlang supaya skuad menjadi lebih kuat dan baik, bukan sekadar untuk masuk dan kena ‘balun’ dengan pasukan lain,” ujarnya.
Sementara itu, Mat Zan turut berkongsi bahawa dirinya akan menarik diri daripada mengendali pasukan Imigresen FC jika mereka memilih untuk ke Liga Super.

Hal ini kerana, jurulatih berusia 66 tahun itu tidak mempunyai lesen kejurulatihan Pro-A sekali gus akan menghalangnya untuk membimbing skuad yang bermain di Liga Super.
Ketika ditanya mengapa tidak melanjutkan lesen kejurulatihannya, ini merupakan jawapannya:
“Saya memikirkan bahawa usia saya yang sudah ‘hujung-hujung’ malah modal untuk mendapatkan lesen Pro-A itu mencecah lebih kurang RM 65,000. Saya tidak mampu untuk keluarkan jumlah sedemikian jika perlu menggunakan wang sendiri.
“Saya juga percaya rezeki saya mungkin ada di tempat lain, bukan di Liga Super,” katanya.