KETUA jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC, Nenad Bacina menarik nafas lega apabila berjaya menumpaskan skuad Kelantan United FC dengan mata 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad.

Kemenangan itu sejurus telah menamatkan kemarau kemenangan warga kota selepas kalah empat perlawanan berturut-turut sebelum ini dan satu perlawanannya berkeputusan seri.

“Selepas ini kita hanya fokus untuk merebut tempat keenam dalam carta yang kini diduduki oleh Terengganu FC, dan hanya dua perbezaan mata antara kita dan Terengganu.

“Walaupun ketiadaan Kevin Ray Mendoza dalam perlawanan-perlawanan akan datang, saya percaya penggantinya iaitu Azri Ghani dan Azim Al-Amin akan menonjolkan aksi terbaik sebagai penjaga gol KL City.

“Kami berterima kasih atas perjuangan yang dilakukan oleh Kevin selama ini dan dia juga merupakan salah seorang pemain utama yang menggalas tanggungjawab besar dalam beberapa perlawanan penting yang berlaku sepanjang tiga tahun ini,” ujarnya dalam sesi sidang media.

Sementara itu, pemangku jurulatih Kelantan United FC, Nazrulerwan Makmor meluahkan rasa kesal apabila anak buahnya tidak berhasil menjaringkan gol walaupun terdapat peluang di hadapan pintu gol pihak lawan.

Bagaimanapun, beliau tetap akur dengan persembahan tersebut oleh kerana terdapat kekangan dari segi persiapan skuad dan berfaktorkan musim tengkujuh yang melanda Kota Bharu.

“Tetapi untuk baki dua perlawanan selepas ini, kita akan sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk kekal berada dalam Liga Super musim 2024/2025 akan datang.

“Jadi misi utama kita perlulah menang ketika bertemu dengan Negeri Sembilan FC dan akhir sekali Kelantan FC. Penting untuk kita mencuri sekurang-kurangnya satu mata supaya tidak dapat dipintas oleh pasukan Kuching City FC yang berada di kedudukan bawah kami,” katanya.

Kelantan United FC kini berada di tangga ke-12 dengan 14 mata keseluruhan manakala KL City FC pula sedang menduduki tangga ketujuh dengan kutipan 34 mata dalam keseluruhan 24 perlawanan.