SKUAD hoki remaja negara akan menentang India sebagai persiapan terakhir sebelum bermulanya saingan Piala Dunia Remaja, 5 Disember depan.
Pengurus pasukan negara, I Vikneswaran berkata, India dipilih kerana mereka mempunyai kekuatan yang hampir sama dengan pasukan gergasi lain termasuk Australia yang berada dalam Kumpulan A bersama Young Tigers, selain juara bertahan, Argentina.
“Kita tidak berada satu kumpulan dengan India, sebab itulah kita mengadakan perlawanan persahabatan dengan mereka.
“Untuk menandingi lawan seperti Australia dan Argentina, India adalah pasukan terbaik yang boleh kita uji,” katanya.

Skuad remaja lelaki negara akan berdepan India sebelum saingan Piala Dunia Remaja 2023 di Kuala Lumpur.
Menurut beliau, skuad negara akan membuka saingan Piala dunia menentang Chile pada 5 Disember, namun akan menguji kekuatan India pada perlawanan ujia 3 Disember depan.
Jelas Vikneswaran, India yang tampil pada Piala Dunia Remaja kali ini dengan pasukan berbeza berbanding di Piala Sultan Johor, yang menyaksikan mereka menewaskan pasukan negara 3-1 ketika itu.
“Ketika di Piala Sultan Johor, sekurang-kurangnya lima atau enam orang pemain utama India tidak beraksi. Jadi sekarang ini mereka bawa barisan pemain terbaik.
“Ia juga menjadi aksi pemanas badan terbaik untuk skuad negara sebelum bertemu Chile pada perlawanan pertama,” katanya.

Pengurus pasukan hoki remaja negara, I Vickneswaran mahu pemain gunakan sebaiknya peluang menentang India.
Mengulas lanjut mengenai Chile, Vikneswaran berkata, tidak banyak yang diketahui pasukan dari Amerika Selatan itu dengan kali terakhir skuad negara bertemu mereka adalah ketika Piala Dunia Remaja 2021.
Sebanyak 16 pasukan akan beraksi pada saingan Piala Dunia Remaja di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dengan skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Argentina dan bekas juara, Australia serta Chile.
Skuad negara akan bertemu Chile pada 5 Disember sebelum berdepan ujian getir menentang Argentina sehari selepas itu dan kemudian menutup aksi peringkat kumpulan bertemu Australia pada 8 Disember.
Skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim diletakkan sasaran untuk mara ke suku akhir.