HARAPAN penyokong tegar badminton untuk melihat pemain kesayangan mereka, Lee Zii Jia mara lebih jauh di Terbuka Malaysia 2023, tidak kesampaian apabila pemain nombor dua dunia itu disingkir pemain Jepun, Kodai Naraoka.

Bermula dengan kemenangan 21-13, Zii Jia bagai terikut-ikut rentak Naraoka, sebelum akur 17-21, 19-21.

Zii Jia mengakui kurang sabar dan mahu menamatkan permainan dengan cepat memakan dirinya ketika Naraoka yang menghuni tangga ketujuh dunia itu tenang mengawal permainan.

“Masih masalah yang sama. Saya rasa kurang kesabaran dalam aksi hari ini. Saya tidak menyesal walaupun kalah kerana saya sudah buat yang terbaik,” jelasnya dalam aksi mendebarkan yang berlangsung lebih sejam itu.

Selain kurang sabar, Zii Jia mengakui kelajuan angin turut menyebabkan dia gagal mempamerkan aksi konsisten sebaliknya lawannya tampil lebih yakin, serta membacara arah angnin dengan baik.

“Saya rasa tentang faktor angin itu agak memberi cabaran. Kodai ada kelebihan kerana dia lebih sabar dan lebih defensif,” katanya.

Mengakui permulaan buruk untuk 2023, Zii Jia mahu segera melupakannya perkara tersebut dan kembali bangkit dalam kejohanan akan datang.

“Memang saya rasa kecewa. Ia permulaan yang buruk bagi tahun 2023. Banyak lagi yang tidak kena dalam perlawanan tadi,” ujarnya.

Untuk rekod, Zii Jia memulakan penyertaannya di Terbuka Malaysia pada 2019 dan pencapaian terbaiknya dalam kejohanan tersebut adalah pada edisi lalu apabila sekadar menamatkan saingan di pusingan kedua.