BANYAK melakukan unforce error menjadi punca kekalahan juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika gandingan ranking ketiga dunia itu tewas kepada pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Yuan Yi di pusingan kedua Terbuka Malaysia hari ini.

Aaron mengakui kekalahan itu berpunca daripada diri mereka sendiri dan enggan menggunakan tekanan membawa gelaran juara dunia sebagai alasan tewas.

“Salah kami sendiri kerana banyak melakukan kesalahan yang tidak sepatutnya. Memang tak mudah untuk mencapai kemenangan.

“Dulu Yu Chen bersama pasangan lama Liu Jun Hui pun sudah susah kita nak menang, mereka cepat membentuk gandingan mantap,” kata Aaron, selepas tewas 10-21, 23-21 kepada gandingan China itu.

Tewas di pusingan kedua Terbuka Malaysia, hanya Aaron Chia tampil ke sidang media.

Berdasarkan rekod pertemuan, pemain utama negara itu tewas pada dua pertemuan lalu, pada Terbuka Indonesia dan Jelajah Dunia Akhir 2022.

Pencapaian terbaik Aaron dan Wooi Yik di Terbuka Malaysia adalah ke suku akhir tahun lalu dan kekalahan mereka menyaksikan hanya tinggal Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (beregu lelaki) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) menggalas cabaran negara di suku akhir, esok.