Hidup atau mati.
Hanya itu sahaja persoalan yang berlegar di seluruh minda pemain Harimau Malaya jika ingin meneruskan saingan dalam pentas Piala Asia 2023 di Qatar.
Kemenangan akan membuka kembali ke Pusingan 16 andai menewaskan Bahrain, sebaliknya jika sebarang kekalahan kedua menanti, maka perjuangan Kim Pan-gon di edisi kali ini dan anak buahnya boleh dianggap berakhir.
Menerusi sidang media di Doha pada Jumaat, Pan-gon melaungkan azimat Malaysia harus menggapai tiga mata pada pertemuan berdepan pasukan ranking 86 dunia, Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad petang Sabtu.
Menurutnya, pertembungan itu cukup penting bagi membangkitkan semula harapan penyokong dalam menghidupkan peluang dan mengintai slot ke pusingan berikutnya.
“Kami lihat semua perkara untuk menang perlawanan ini dan kami tidak mahu seri atau kalah terutama untuk aksi esok yang amat kritikal.
“Ia (kemenangan) penting untuk kami dan kami perlu menang dengan Bahrain. Begitu juga pertemuan dengan Korea Selatan dan perlu meraih sesuatu biarpun kami tahu kualiti pasukan negara agak jauh daripada Korea,” katanya.

Pada perlawanan pembukaan Kumpulan E, Malaya bermula langkah kiri tunduk 0-4 di tangan Jordan sekali gus kini berada di kedudukan tercorot.
Rekod pertemuan kedua-dua pasukan lebih memihak Dilmun’s Warriors yang menyaksikan Malaysia tidak pernah menang ke atas Bahrain dengan kali terakhir menumbangkan lawan itu pada 1978.
Pertemuan kali ke-13 antara Malaysia dan Bahrain! Min rasa kita boleh comeback pada 20hb nanti 💪🏻🇲🇾#asiancup2023 #harimaumalaya pic.twitter.com/EyIcMekaq0
— Flash Sukan (@FlashSukan) January 17, 2024
Selepas itu, kedua-dua pasukan sudah bertemu lebih 10 kali dengan skuad Harimau Malaya gagal melakar kemenangan apabila sekadar mampu seri tiga kali dan tunduk tujuh kali.
Pertembungan terakhir adalah pada Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun 2022 lalu, di mana Malaysia tumbang 1-2 sebelum bangkit menewaskan Bangladesh untuk menamatkan badi 43 tahun layak secara merit ke Piala Asia.

Sementara itu, pemain pertahanan negara, Shahrul Saad tetap menaruh harapan perjuangan Harimau Malaya belum berakhir dan sedia bangkit di hadapan penyokong Malaysia yang sanggup hadir ke Doha.
“Kami mempunyai persiapan beberapa hari sebelum perlawanan esok dalam mood positif. Kami tahu boleh melakukan sesuatu untuk perlawanan esok.
“Malaysia miliki permainan berkualiti yang perlu kami berikan. Saya percaya kami boleh dapatkan kemenangan ke atas Bahrain,” katanya.