KETUA Jurulatih Kelantan FC yang baharu dilantik, Frank Bernhardt mahu meletakkan fokus utama untuk memperbaiki tahap kecergasan pemain yang dilihatnya sebagai rendah kerana terlalu mudah mengalami kecederaan.

Ini selepas pasukan kendaliannya tewas 0-3 kepada Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ dan dia mengakui tidak dapat melakukan perubahan taktikal pada babak kedua kerana kekurangan pemain akibat cedera.

Mengulas berkaitan permainan itu, Bernhard masih berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan para pemainnya dan mengakui tidak mempunyai masa yang cukup untuk mempersiapkan pasukan selepas mengambil alih tugasan dari Choi Moon Sik.

Frank Bernhardt

“Pertama sekali saya berpuas hati dengan apa yang kami rancang. Gol pertama adalah berpunca dari kesilapan individu. Kami seharusnya menjaringkan gol pada babak pertama kerana kami bermain dengan kompak tetapi masalahnya kami tidak dapat jaringkan gol

“Babak kedua pula menyaksikan saya tidak dapat membuat ‘tactical change‘ sebab kecederaan pemain dan saya hanya punya tiga hari, sukar untuk merubah pemain terutama tahap kecergasan yang kurang baik.

“Kami mempunyai peluang untuk seri dan ini adalah perancangan saya tetapi kekurangan pemain menjadi punca kami gagal saingi Selangor dan bolos tiga gol adalah banyak pada pendapat saya.

“Seterusnya kami akan bekerja keras untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain kerana mereka terlalu mudah mengalami kecederaan dan saya akan fokus kepada perkara ini untuk pasukan menjadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Kelantan tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut dengan melepaskan 12 gol dan hanya menjaringkan dua gol dengan Bernhardt perlu melakukan sesuatu dengan segera bagi menukar nasib pasukan The Red Warriors.