PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) dijangka memuktamadkan garis panduan yang akan membolehkan pemain profesional menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, Pengarah Prestasi Tinggi, Dr Tim Jones kini di peringkat akhir perbincangan dengan pengurusan pemain profesional untuk melibatkan mereka berlatih bersama pemain kebangsaan.
“Menjurus kepada sesi latihan bersama, yang mana kami mungkin menetapkan hari-hari tertentu dalam seminggu untuk pemain profesional menjalani Latihan di sini (ABM).
“Kami mahu perkara ini memuaskan hati semua pihak, situasi menang-menang,” kata Kenny.
Kenny turut menjelaskan tiada paksaan buat pemain profesional dalam hal ini dengan mereka diberi pilihan sama ada untuk hadir atau sebaliknya bagi berlatih di ABM.
“Mereka ada hak untuk pilih sama ada untuk datang atau tidak,” katanya.
Ogos lalu, BAM memaklumkan bakal membuka pintu bagi pemain profesional berlatih bersama di ABM, supaya dapat memberi manfaat kepada pemain negara dalam meningkatkan lagi tahap permainan mereka.