PASUKAN wanita negara mengesahkan tempat ke suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024, selepas melepasi ujian pertama, menewaskan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 5-0.

Paling penting, pemain negara cemerlang tanpa mencicirkan sebarang set apabila semua pemain diturunkan meraih kemenangan straight set.

Memimpin perlawanan, Goh Jin Wei menghadiahkan mata pertama, menewaskan Nurani Ratu Azzahra 21-13, 21-9 sebelum K. Letshanaa menang 21-11, 21-14 ke atas S Madhumitha dan Wong Ling Ching mengatasi SP Sreeyuktha 21-4, 21-12.

Kemudian Pearly Tan-M.Thinaah menghadiahkan mata keempat dengan mengatasi R Nayonika 21-4, 21-5 dan gandingan pecahan, Tan Zhing Yi-Teoh Mei Xing melengkapkan kememangan 5-0 dengan menundukkan RS Zainaba-SP Sreeyuktha 21-4, 21-14.

Bagi kapten, Thinaah, mereka turun beraksi dengan mempamerkan aksi sebenar.

“Tiada perlawanan boleh dianggap pemanas badan kerana setiap pemain tampil memberikan yang terbaik untuk negara mereka, kami mahu fokus kepada permainan kami sendiri,” kata Thinaah.

Meskipun sudah mengesahkan tempat ke suku akhir, skuad negara akan berdepan Thailand esok, bagi melengkapkan saingan kumpulan Y dan juga menentukan pasukan mana yang lebih layak mara sebagai juara kumpulan.