PENGENDALI The Speedy Tigers, Sarjit Singh sudah mempunyai bayangan untuk 18 pemain terakhir untuk bermain di kejohanan Piala Sultan Azlan Shah bermula 4 Mei ini.

Menurut Sarjit, barisan kejurulatihan akan memuktamadkan pemain yang akan dipilih selepas perlawanan persahabatan menentang New Zealand pada 1 Mei nanti.

“Kita sudah ada pemain yang kita inginkan, kemungkinan besar kita sudah ada kesebelasan utama tetapi kita akan muktamadkan pemain mana yang akan tersenarai selepas perlawanan dengan New Zealand nanti,” jelasnya pada sesi latihan pasukan pada Khamis.

Sarjit Singh mempunyai bayangan skuad untuk kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh.

Manakala nasib empat pemain senior masih belum diputuskan.

“Empat pemain senior belum disahkan lagi akan tersenarai dalam senarai terakhir 18 pemain. Kita kena tunggu dan lihat mereka berlatih serta menunjukkan permainan yang baik dalam perlawanan persahabatan nanti,” tambahnya.

Dalam pada itu, Sarjit mengakui terdapat pemain muda yang berbakat yang memerlukan banyak pendedahan di peringkat antarabangsa supaya mereka boleh dapat input daripada pemain-pemain itu.

Sarjit mengharapkan pemain-pemain muda negara dapat bermain sebanyak 40 perlawanan antarabangsa setahun.

“Bila dia (pemain) main perlawanan tempatan dan perlawanan antarabangsa ada banyak bezanya.

“Ada yang boleh main game tempatan tapi bila main game antarabangsa dia merasa tekanan sikit.

“Itu yang saya cakap daripada awal, kita kena bagi pendedahan kepada pemain muda untuk bermain lebih banyak perlawanan antarabangsa, baru kita dapat input yang baik. Kita perlukan input yang baik daripada pemain yang bermain perlawanan antarabangsa,” ujarnya lagi.

Malaysia bakal membuka tirai Piala Sultan Azlan Shah bertemu Pakistan pada 4 Mei, 8.30 malam.