WAJAH baharu Stadium MBPJ, Kelana Jaya dilihat bakal memberikan semangat ‘extra’ buat Selangor FC dalam mengharungi kejohanan Selangor Asia Challenge (SAC) 2024 yang berlangsung pada 26 dan 28 April.

Pengendali Gergasi Merah, Nidzam Jamil yang menyatakan perubahan imej stadium itu bakal memberi motivasi buat para pemain ketika menentang wakil Brunei, DPMM FC di hadapan penyokong sendiri.

Stadium yang dibina sempena Sukan Komanwel 1998 itu kini sudah hampir siap sepenuhnya projek naik taraf untuk memastikan ianya selari dengan syarat dan spesifikasi yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Antara bahagian stadium yang ditambah baik

“Saya fikir macam kita ubahsuai rumah kita. Ia masih rumah yang sama cuma kita tambahbaik rumah kita sendiri dan itu bagus untuk penyokong dan emosi para pemain sebab bila kita buat penambahbaikan pada stadium itu sendiri, itu akan tambah baik emosi.

“Ia juga akan tambah baik dari segi prestasi pasukan. Ini bagus untuk keluarga yang datang sebab kita nak semua orang rasa bahawa Stadium MBPJ itu adalah merupakan rumah kita.

“Dan jika kelab nak ubahsuai dan tambah baik lagi stadium, saya fikir itu satu perkara yang bagus kerana ianya adalah petanda yang baik buat kita,” katanya dalam sidang media SAC 2024 yang berlangsung di Shah Alam.

Nidzam mahu Selangor gunakan kesempatan beraksi di laman sendiri untuk muncul juara

SAC 2024 menampilkan Selangor FC, wakil Singapura, Balestier Khalsa, kelab Laos, Young Elephants dan DPMM FC dari Brunei Darussalam akan bersaing untuk merebut trofi kejuaraan yang akan disampaikan pada 28 April.

Young Lions dan Balestier Khalsa akan membuka tirai dengan perlawanan pertama jam 5 petang sebelum Selangor FC bertemu DPMM FC pada jam 9 malam dengan kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.