TUAN rumah Piala Dunia Sepak Takraw Istaf, Malaysia mendapat laluan selesa pada kejohanan itu selepas undian yang berlangsung hari ini, berjaya mengelak daripada satu kumpulan dengan Thailand.

Undian yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur menyaksikan, Malaysia sebagai pilihan kedua acara regu, memimpin kumpulan B yang turut dianggotai China dan Brunei, manakala pilihan utama kejohanan, Thailand dalam kumpulan A bersama Vietnam dan Indonesia.

Undian memihak regu negara itu menyaksikan, Malaysia dapat mengelak Thailand hingga ke pusingan separuh akhir.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan ketika melakukan undian pada majlis berlangsung di WTC, Kuala Lumpur.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan berkata, tiada perkataan mudah boleh digunakan untuk kejohanan di peringkat Piala Dunia.

“Selamat tak selamat… bagi saya dalam apa-apa kejohanan terutamanya Piala Dunia, peluang untuk semua negara ada. Namun untuk pasukan negara, kalau tengok undian tadi, InsyaAllah boleh lepas beberapa peringkat.

“Saya tak nak ulas lanjut tetapi harapan saya dan peminat, sudah pasti kita boleh ke final kerana kita tuan rumah. Kita akan cuba gunakan sedaya upaya kelebihan bermain di laman sendiri,” kata Sumali.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan tidak menganggap laluan berbeza dengan Thailand bukan satu kelebihan mutlak.

Malaysia yang muncul naib juara edisi 2022 di Korea Selatan, berpeluang cerah untuk sekurang-kurangnya mengulangi pencapaiaan itu.

Sementara itu, Korea Selatan, Filipina dan Singapura berada dlaam kumpulan C manakala India, Jepun dan Myanmar dalam kumpulan D.

Untuk rekod, Malaysia pernah munncul naib juara sebanyak tiga kali dalam acara regu, pada 2022 di Korea Selatan, Kuala Lumpur 2011 dan Hyderabad, India 2017.

Senarai penuh undian Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2024.

Dalam pada itu, acara Double menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah, memilih untuk berada dalam kumpulan A bersama Jepun dan Brunei, manakala China, Vietnam dan India (kumpulan B), Myanmar, Filipina dan Indonesia (kumpulan C) dan Thailand, Singapura dan Korea (kumpulan D).

Sementara acara Berpasukan pula, Malaysia memilih berada dalam kumpulan C bersama Brunei dan Jepun.

Dalam kumpulan A dibarisi Indonesia, Vietnam dan Singapura sementara India, Thailand dan China (kumpulan B) dan Myanmar, Filipina dan Korea (kumpulan D).