BEKAS jurulatih Lee Zii Jia, akhirnya sah disunting Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Inodnesia (PBSI) selepas diumum sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita yang baharu skuad badminton Indonesia.

Perkembangan itu dikongsikan di laman Twitter Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI), hari ini.

“PBSI dengan bangga mengumumkan bahawa Indra Wijaya resmi (rasmi) bergabung dengan pelatnas PBSI sebagai kepala pelatih (ketua jurulatih) sektor tunggal putri (perseorangan wanita) bermula 1 Mac 2023,” tulis PBSI menerusi ciapan di Twitter badan induk itu.

Pada 27 November tahun lalu, Indra, 48, mengesahkan dia sudah berpisah dengan Zii Jia selepas sembilan bulan menjadi jurulatih pemain nombor empat dunia itu.

Susulan perpisahan itu, Indra ketika dilaporkan mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas Zii Jia atas dakwaan pelanggaran kontraknya sebagai jurulatih.

Sebelum melatih Zii Jia, Indra berkhidmat bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selama enam tahun bermula 2015.

Dia diberi tanggungjawab sebagai jurulatih perseorangan lelaki sebelum ditukarkan kepada perseorangan wanita pada 2020 sehinggalah meletak jawatan pada Januari tahun lalu.

Indra juga turut memiliki pengalaman sebagai jurulatih perseorangan skuad badminton Korea Selatan sebelum menerima tawaran daripada BAM.

Indra adalah bekas pemain kebangsaan Indonesia pada era 1995 hingga 2000 dan antara pemain seangkatan dengannya adalah bekas juara dunia 1995, Hariyanto Arbi selain Ardy B Wiranata yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik 1992.

Dia juga adalah abang kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2000 dalam acara beregu lelaki, Candra Wijaya.